MUAR, 17 Mei (Bernama) -- Program Literasi Pertahanan merupakan komponen baharu yang akan diperkenalkan Kementerian Pertahanan pada Program Jiwa Murni (PJM) tahun ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata program berkenaan akan dilaksanakan oleh Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) bagi memberi penerangan kepada masyarakat berkaitan geopolitik sebagai sebahagian daripada strategi Pertahanan Menyeluruh (Hanruh).
“Jadi, ia akan memberi penerangan kepada rakyat mengenai bagaimana keadaan geopolitik, ancaman di Laut Cina Selatan dan perbandingan kekuatan kesiagaan kita dengan negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran PJM MADANI Kementah 2026 di Dewan Semai Bakti, Felda Maokil, Labis yang turut dihadiri Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.
Pada majlis berkenaan, Mohamed Khaled menyerahkan cek cura berjumlah RM6 juta kepada Ketua Jurutera Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Brig Jen Sharuddin Mohd Noh bagi pelaksaan PJM MADANI Kementah 2025.
Selain itu, beliau turut menyerahkan cek cura berjumlah RM500,000 kepada Ketua Pengarah Bahagian Kerohanian Islam (KP BKI) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mej Jen Datuk Mohd Rashidi Bujai bagi pelaksanaan Program Ilmu dan Muafakat (PIKAT).
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata sebanyak RM6 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi melaksanakan 57 projek PJM di seluruh negara, membabitkan Melaka (28 projek), Johor (17 projek), Kedah (empat projek), Perak (tiga projek), Kelantan (dua projek) dan masing-masing satu projek di Negeri Sembilan, Sarawak dan Terengganu.
Beliau berkata projek PJM pada tahun ini memberi penekanan terhadap baik pulih masjid dan surau, dewan dan balai raya, sekolah, fasiliti sukan, tanah perkuburan dan infrastruktur.
-- BERNAMA