POLITIK

PH Johor Umum Tanding Semua 56 Kerusi DUN

17/05/2026 02:03 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Johor mengumumkan bakal bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan berkata perkara itu diputuskan selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi kata putus bahawa BN akan bertanding di semua kerusi DUN semalam.

“Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah menyatakan (BN) akan bertanding di 56 kerusi, maka PH Johor akan turut sama bertanding di 56 kerusi, mereka (BN) telah beri laluan dan kata putus.

“Walaupun ada yang menyatakan kenapa hendak bertanding dengan rakan sendiri? Ini kerana mereka yang isytiharkan, maka kita (PH) sambut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Perwakilan PH Johor pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor berkata PH yakin mampu menewaskan BN untuk kali kedua.

“Kalau 2018 kita (PH) boleh menang, tidak mustahil kita boleh kalahkan mereka (BN) untuk pilihan raya akan datang,” kata Ahli Parlimen Sri Gading itu.

Semalam, Onn Hafiz dilaporkan berkata keputusan untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN dibuat selepas mengambil maklum pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor mengenai hala tuju parti menjelang pilihan raya tersebut.

Pada PRN 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN, PH (12), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).

Konvensyen PH yang berlangsung hari ini dilihat menjadi pentas penting dalam menentukan hala tuju gabungan itu termasuk persediaan menghadapi kemungkinan PRN Johor dan Melaka tahun ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2558131