AM

AMK Gesa Siasatan Segera, Terperinci Dakwaan Sumbangan Dana Asing Bagi Propaganda Politik

17/05/2026 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyaluran dana asing yang dikaikan dengan cubaan mencatur naratif politik domestik.

Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim berkata siasatan bebas dan menyeluruh tanpa mengira latar belakang politik pihak yang dikaitkan dengan pendedahan berkenaan juga perlu melibatkan Bank Negara Malaysia serta agensi keselamatan lain.

Beliau berkata alasan kebebasan dan demokrasi tidak boleh dijadikan perisai untuk menghalalkan aktiviti penggunaan serta penyelewangan dana asing bagi kegiatan politik yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“AMK memandang serius pendedahan mutakhir berhubung dakwaan penyaluran dana asing kepada ahli politik, individu serta pertubuhan tertentu yang dipercayai digunakan bagi menggerakkan propaganda politik, operasi tentera siber dan provokasi jalanan atas nama demokrasi serta hak asasi manusia.  

“Mana-mana gerakan yang menerima dan menyalah guna pembiayaan luar untuk mencatur naratif politik domestik secara tersusun perlu disiasat secara menyeluruh dan telus tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Kamil berkata AMK juga mahu tindakan tegas diambil di bawah peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Akta Pertubuhan 1966 jika terbukti wujud unsur ancaman keselamatan atau pengubahan wang haram.

“Dalam keadaan negara berdepan cabaran ekonomi global, kita memerlukan kestabilan politik dan keyakinan institusi yang kukuh. Sekiranya dakwaan tersebut benar, ia adalah sesuatu yang amat berbahaya kerana Malaysia tidak boleh menjadi medan eksperimen geopolitik kuasa asing melalui proksi tempatan,” katanya.

Beliau berkata rakyat sewajarnya diberikan penjelasan tuntas manakala tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu diambil segera bagi membuktikan kedaulatan negara tidak boleh dipersendakan mana-mana pihak.

Muhammad Kamil mendakwa ketika ini wujud transaksi kewangan melibatkan sebuah organisasi luar negara yang berpangkalan di Amerika Syarikat kepada sebuah syarikat tempatan berjumlah lebih RM1.5 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2558135