AM

Lebih Tiga Tan "E-waste" Dikumpul Menerusi Program Lestari Di Pasir Salak

17/05/2026 02:25 PM

IPOH, 17 Mei (Bernama) -- Lebih 3.5 tan sisa elektronik (e-waste) berjaya dikumpul menerusi Program Kelestarian Alam Sekitar: Pengumpulan E-Waste yang diadakan di Kampung Gajah, di Pasir Salak semalam.

Kolej Komuniti Pasir Salak, selaku penganjur program dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia dilaksanakan dengan kerjasama Masjid Jamek Al Ansar Changkat Lada, SRT Teck Realistic Sdn Bhd dan rakan strategik, dengan pekarangan masjid sebagai lokasi pengumpulan. 

Program tersebut menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat dan dari luar seperti Setiawan, Lekir, Kuala Kangsar, Parit, Teluk Intan dan Chenderong Balai yang membawa pelbagai peralatan elektrik dan elektronik rosak untuk dilupuskan serta dikitar semula secara selamat dan mesra alam.

Menurut kenyataan itu, antara barangan yang  berjaya dikumpulkan ialah televisyen, mesin basuh, komputer, telefon bimbit, pencetak, kipas, kabel, periuk elektrik serta pelbagai lagi peralatan elektrik rumah yang tidak lagi digunakan.

Pengarah Kolej Komuniti Pasir Salak Mohd Shahrir Ahmad Zaini berkata program itu merupakan satu usaha berterusan institusi dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa elektronik secara bertanggungjawab di samping membudayakan amalan hijau dalam kehidupan seharian.

Mohd Shahrir berkata program seperti itu bukan sahaja memberi impak positif kepada alam sekitar malah mengeratkan lagi hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti melalui aktiviti berteraskan kelestarian.

"Program seperti ini membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pada masa sama memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai kaedah pelupusan e-waste yang lebih selamat, sistematik dan lestari,” katanya menerusi kenyataan itu.

Beliau berkata pelaksanaan program itu turut selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) khususnya SDG 11 iaitu Bandar dan Komuniti Mampan melalui usaha memperkukuh pengurusan sisa komuniti secara mampan.

"Selain itu, program ini menyokong SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran Secara Bertanggungjawab menerusi amalan kitar semula dan pelupusan sisa elektronik secara bertanggungjawab, di samping mendukung SDG 13, Tindakan Iklim  dalam usaha mengurangkan pencemaran serta meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa hadapan.

Sementara itu, pengarah program Norjunainah Juri dalam kenyataan sama berkata kejayaan mengumpulkan lebih 3.5 tan e-waste dalam tempoh singkat merupakan hasil kerjasama erat komuniti setempat, agensi berkaitan dan sukarelawan program yang komited menjayakan agenda kelestarian alam sekitar.

Norjunainah berkata program tersebut turut mendukung hasrat Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Dr Shamsuri Abdullah bagi 2026 yang memberi fokus kepada pemantapan budaya hijau melalui agenda kelestarian secara menyeluruh dalam ekosistem POLYCC pada tahun ini.

Beliau berkata inisiatif tersebut menekankan pendidikan berteraskan teknologi hijau, pemerkasaan inovasi lestari dalam kalangan warga POLYCC serta pelaksanaan agenda SmartGreen bagi melahirkan tenaga kerja kolar hijau yang berkemahiran, berdaya saing dan peka terhadap kelestarian alam sekitar.

Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Al Ansar Changkat Lada Idris Mohamed Yasin dalam kenyataan sama pula menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif yang sangat baik dalam mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.

Beliau berkata kerjasama antara institusi pendidikan, masjid, pihak industri dan komuniti setempat mampu mewujudkan budaya masyarakat yang lebih prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.

"Program seperti ini memberi manfaat besar kepada masyarakat kerana bukan sahaja membantu membersihkan persekitaran, malah meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya pelupusan sisa elektronik secara betul demi masa depan generasi akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2558149