KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kapten regu negara Farhan Adam mengakui skuad Malaysia masih dalam proses menyesuaikan diri dan mencari rentak permainan walaupun memulakan kempen Piala Dunia Sepak Takraw dengan kemenangan 2-0 ke atas Jepun di Stadium Titiwangsa, semalam.
Farhan berkata aksi menentang Jepun merupakan perlawanan antarabangsa pertama skuad negara tahun ini, sekali gus memberi cabaran kepada pemain untuk kembali menyesuaikan diri dengan suasana sebenar pertandingan.
"Seperti semua tahu, ini (menentang Jepun) adalah perlawanan pertama kami di peringkat antarabangsa tahun ini.
“Kami tak dapat nak uji tahap permainan bila duduk bersama dalam skuad kebangsaan. Jadi sekarang masih dalam proses mencari rentak dan suasana permainan,” katanya.
Beliau berkata prestasi pasukan dijangka akan meningkat menjelang aksi terakhir Kumpulan A menentang Singapura, esok.
Mengulas pertukaran pemain tekong pada aksi semalam, Farhan berkata keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada strategi pasukan untuk memastikan semua pemain mendapat keserasian dan pendedahan awal di gelanggang.
"Pada saya itu semua strategi kerana kami perlukan semua pemain dapat keselesaan di awal permainan supaya untuk aksi selepas ini yang mungkin lebih mencabar, semua pemain sudah bersedia dan dapat rasa suasana dalam gelanggang," katanya.
Dalam perlawanan itu, Syahir Rosdi dikeluarkan pada penghujung set pertama dan pertengahan set kedua bagi memberi peluang kepada Haziq Hairul Nizam beraksi.
Farhan turut menegaskan tumpuan utama skuad negara kini terarah kepada aksi menentang Singapura dalam acara regu.
“Untuk regu kami fokus lawan Singapura dulu. Permainan memang perlu ditingkatkan dari segala aspek supaya kami nampak lebih bersedia untuk perlawanan berikutnya,” katanya.
Kemenangan ke atas Jepun itu hampir pasti mengesahkan kemaraan Malaysia ke suku akhir, manakala perlawanan menentang Singapura bakal menentukan status juara atau naib juara Kumpulan A.
-- BERNAMA