BUTTERWORTH, 18 Mei (Bernama) -- Persiapan bagi sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang dijadual berlangsung pada 20 Jun ini di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini, berjalan lancar dan diperkukuh menerusi kerjasama Kementerian Komunikasi dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil berkata pihaknya menghargai komitmen dan kerjasama yang diberikan kerajaan negeri dalam memastikan kelancaran serta kesediaan menjadi tuan rumah sambutan HAWANA 2026.
“Sambutan Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pulau Pinang akan melibatkan tiga acara utama iaitu Majlis Makan Malam Media Bersama Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib pada 19 Jun, Majlis Kemuncak HAWANA 2026 pada 20 Jun dan Mai Riuh@HAWANA dari 19 hingga 21 Jun.
“Kelainan penganjuran HAWANA pada tahun ini adalah jemputan khas kepada menteri penerangan dan komunikasi dari negara anggota ASEAN bagi menghadiri sambutan HAWANA 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Induk HAWANA 2026 bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang Muhamad Ghopran Yeop Hamzah di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak merangkap Pengarah Projek HAWANA 2026, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain serta Ketua Hal Ehwal Korporat Mariati Mohd Arif.
Bahria berkata penglibatan MyCreative Ventures bagi program Mai Riuh@HAWANA akan menampilkan elemen keterangkuman komuniti melalui penganjuran Jualan Rahmah serta penyertaan vendor dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana (IKS).
Sementara itu, Muhamad Ghopran berkata kerajaan negeri menghargai kepercayaan yang diberi kepada Pulau Pinang dan berjanji akan memberikan kerjasama serta sokongan sepenuhnya bagi memastikan penganjuran HAWANA 2026 berlangsung dengan jayanya.
“Kerajaan negeri turut menyambut baik penganjuran Mai Riuh@HAWANA yang bukan sahaja membuka peluang perniagaan kepada vendor yang terlibat, malah turut merancakkan ekonomi Pulau Pinang,” katanya.
Terdahulu, Mohd Shukri membentangkan mengenai penganjuran HAWANA 2026 dan mesyuarat selama satu jam itu turut membincangkan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan kementerian, jabatan serta agensi terlibat.
HAWANA 2026 bakal mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” bagi memperkasakan peranan pengamal media dalam pembangunan negara dan majlis kemuncak sambutan tahunan bagi menghargai jasa golongan pengamal media dengan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
HAWANA yang juga perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia, dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sebagai agensi pelaksana.
-- BERNAMA