AM

Projek BESS Santong TNB Bakal Perkukuh Kestabilan Grid Elektrik Negara - Fadillah

18/05/2026 03:17 PM

DUNGUN, 18 Mei (Bernama) -- Projek Santong Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100MW/400MWj yang dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kestabilan grid elektrik negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata selain itu ia juga menyokong agenda peralihan tenaga negara agar dapat dilaksanakan secara teratur, progresif dan seimbang.

Beliau berkata BESS merupakan antara projek sistem penyimpanan tenaga bateri utiliti berskala besar terawal di Malaysia, sekali gus menyokong integrasi tenaga boleh baharu (TBB) secara lebih meluas ke dalam sistem pembekalan elektrik negara.

“Ini sebenarnya telah direncanakan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, bukan sahaja melihat dari segi campuran tenaga untuk penjanaan tenaga kita, tetapi juga mengambil kira keperluan bekalan.

“Apabila tenaga dijana, ia akan dibekalkan ke grid dan ketika ini Malaysia mempunyai banyak sumber tenaga boleh baharu yang dijana, termasuk solar dan sebagainya,” katanya pada sidang media bersempena dengan majlis perasmian projek BESS itu, di sini, hari ini.

Fadillah berkata untuk menjamin kestabilan grid elektrik secara keseluruhan, bateri merupakan salah satu kaedah bagi memastikan sumber bekalan mencukupi dan stabil.

Sehubungan itu, katanya, sistem BESS yang dikenali sebagai bank tenaga pintar pertama di Malaysia  telah dilaksanakan dengan penggunaan teknologi grid forming.

Dalam pada itu, katanya, kejayaan TNB yang menyiapkan projek itu dalam tempoh kurang daripada setahun membuktikan keupayaan syarikat utiliti negara tersebut dalam membangunkan infrastruktur tenaga.

Beliau berkata  projek BESS Santong yang menelan kos kira-kira RM380 juta itu mula beroperasi pada 17 April lepas serta mempunyai jangka hayat penggunaan sehingga 15 tahun.

Katanya, sistem itu mampu membekalkan tenaga sehingga empat jam sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Fadillah berkata kemudahan itu mampu menyokong keperluan kira-kira 40,000 penduduk di Pantai Timur selain meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

“Dengan siapnya BESS ini, ia sudah pasti membantu memastikan keterjaminan dan kestabilan bekalan tenaga khususnya di Pantai Timur,” katanya.

BESS berfungsi sebagai “power bank” berskala besar yang mampu menyimpan lebihan tenaga elektrik dan melepaskannya semula apabila diperlukan dan teknologi itu membantu menstabilkan frekuensi grid, mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik serta memastikan sistem pembekalan elektrik kekal stabil. 

Selain disambungkan ke Sistem Grid dengan teknologi grid-forming, projek BESS Santong juga merupakan platform pembelajaran penting kepada industri tenaga negara dalam aspek pembangunan, operasi dan integrasi teknologi penyimpanan tenaga berskala utiliti.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2558509