Oleh Noor Bakhtiar Ahmad
PETALING JAYA, 19 Mei (Bernama) -- Malaysia mendesak rejim Zionis Israel supaya membebaskan segera 25 rakyat negara ini yang juga ahli dan anak kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan ketika berada di luar perairan Cyprus pada 18 Mei.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tindakan itu bertentangan dengan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa kerana mereka tidak berada dalam perairan Israel ketika dipintas pihak berkuasa negara itu.
“Kita mendesak agar pihak rejim Zionis Israel memberikan layanan yang sempurna kepada mereka dan membebaskan mereka dengan segera kerana ini adalah bertentangan dengan hak asasi dan undang-undang antarabangsa.
“Mereka tidak menceroboh … mereka (berada) jauh di luar (perairan Cyprus). Tetapi mereka dipintas dan banyaklah rakyat negara lain yang turut ditahan oleh pihak berkuasa rejim Zionis Israel,” katanya pada sidang media di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selasa.
Mohamad berkata beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatnya Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan dan kerajaan Turkiye yang berjaya membawa pulang 10 rakyat Malaysia yang ditahan lebih awal.
“Tetapi sekarang ada lagi yang kena tahan.
“Kita minta supaya mereka diberi layanan yang sepatutnya dan dibebaskan segera,” katanya.
Beliau berkata lima lagi rakyat Malaysia sebelum ini turut ditahan pihak berkuasa Greece selepas kapal mereka karam ketika cuba membawa pulang kapal berkenaan.
Mohamad berkata tiga kru atau peserta telah dibebaskan manakala dua lagi, iaitu kapten dan pembantu kapten, ditahan serta dibicarakan sebelum mahkamah akhirnya membebaskan mereka.
“Mereka semua telah balik ke Istanbul.
“Kita ucapkan terima kasih sekali lagi kepada rakan sejawat saya, Hakan Fidan, dan juga kerajaan Turkiye,” katanya.
-- BERNAMA