JENAYAH & MAHKAMAH

Zaim Ikhwan Peroleh Hak Penjagaan Anak Tanpa Sebarang Syarat, Bon

20/05/2026 12:44 PM

SHAH ALAM, 20 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan hak penjagaan adik kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, diserahkan kepada bapa kandungnya tanpa sebarang syarat atau bon.

Zaim Ikhwan Zahari, 31, dilihat sebak dan menitiskan air mata selepas Hakim Suriyati Hasimah Mohd Hashim membenarkan permohonan rayuannya bagi mengetepikan 14 syarat serta bon yang ditetapkan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 21 Nov 2025.

Dalam penghakimannya, Suriyati Hasimah berkata mahkamah membenarkan rayuan yang difailkan pada 26 Nov 2025 itu selepas meneliti semua dokumen serta hujahan bertulis dan lisan daripada kedua-dua pihak.

“Perintah yang dikeluarkan oleh Majistret pada 21 Nov 2025 adalah diketepikan. Perintah bon sebanyak RM2,000 dan syarat-syarat tambahan yang telah dikeluarkan oleh Majistret untuk tempoh selama tiga tahun juga diketepikan,” katanya. 

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak responden boleh memfailkan rayuan rasmi sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan mahkamah akan menyediakan alasan penghakiman bagi tujuan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aida Mat Rifin mewakili pihak pendakwaan selaku responden.

Pada 21 Nov 2025, Mahkamah Majistret memerintahkan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dipulangkan ke pangkuan bapanya selepas 18 bulan berada di bawah jagaan nenek saudara serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, mahkamah ketika itu mengenakan 14 syarat ketat antaranya memastikan kanak-kanak yang juga menghidap autisme itu tidak ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa, selain memastikan dia mendapat pendidikan dan terapi sewajarnya.

Selain itu, bapa kandung hendaklah memastikan kanak-kanak berkenaan mendapat pendidikan dan terapi sewajarnya dan mereka juga dikehendaki tinggal di alamat yang dinyatakan dalam perintah mahkamah namun jika mahu berpindah, perkara itu perlu dimaklumkan kepada JKM. 

Sementara itu, peguam Lavanesh Haresh Mahadevan ketika ditemui berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan hari ini dan berharap rayuan terhadap hukuman penjara isteri Zaim Ikhwan iaitu Ismanira Abdul Manaf juga akan dibenarkan bagi memastikan mereka sekeluarga dapat kembali hidup bersama. 

Pada 31 Okt 2025, ibu kepada Zayn Rayyan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autistik itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya. 

Hakim Dr Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismanira selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serta merta, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta cagaran RM3,000.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2559341