KOTA BHARU, 20 Mei (Bernama) -- Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam di Kampung Binjai, Banggu di sini, bulan lepas.
Muhammad Hakim Zikrullah Mohd Zamran, 25, dan Mohamed Eerman Daniel Mohamed Afrizal, 27, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, di sebuah rumah di Kampung Binjai, Banggu kira-kira 11 malam 13 April.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala dua lelaki itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, Muhammad Hakim dan Mohamed Eerman serta dua lagi rakan Mohamad Areef Mohd Zuki, 25, dan Mohamad Aiman Shah Mohd Azizi, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melupuskan keterangan dan menyembunyikan bukti dengan membuang mayat mangsa.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengetahui kesalahan bunuh terhadap Muhammad Zakir Fikry dan bertindak membuang mayat di tepi jalan dengan niat mengelakkan Muhammad Hakim serta Mohamed Eerman dikenakan tindakan undang-undang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Chap Bekelam, Bachok pada 3.30 pagi 14 April dengan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim manakala semua lelaki itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 Jun.
-- BERNAMA