JENAYAH & MAHKAMAH

Sarjan Polis Didakwa Terima Rasuah RM3,000

20/05/2026 06:51 PM

KUALA TERENGGANU, 20 Mei (Bernama) -- Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000 sebagai dorongan untuk melepaskan seorang suspek daripada tahanan polis, dua tahun lepas.

Nik Mohamad Azaha Mohd Zohari, 59, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu didakwa secara rasuah memperoleh RM990 daripada seorang individu melalui akaun bank miliknya di sebuah bank di Bandar Permaisuri, Setiu pada 22 Ogos 2024.

Bagi pertuduhan kedua, Nik Mohamad Azaha didakwa menerima wang tunai RM2,010 daripada individu sama di hadapan sebuah bank di daerah itu pada tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Hakim menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan semula kes dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee manakala Nik Mohamad Azaha diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2559601