SUKAN

Presiden PTM Nafi Dakwaan Salah Guna Kuasa, Buat Laporan Polis

22/05/2026 12:42 AM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) Datuk Mohamad Iruan Zulkefli menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan beliau dengan isu meminta wang atau salah guna kuasa.

Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak benar, tidak berasas dan fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta integritinya. 

"Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Nilai hari ini dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Mohamad Iruan turut memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan sidang media esok bagi memberi penjelasan terperinci dan menjelaskan perkara sebenar berhubung isu berkenaan.

Terdahulu, tular video di Facebook dakwaan seorang jurulatih tinju bahawa dia dipaksa melakukan pemindahan wang kepada PTM setiap bulan. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2560102