JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Pusat Hiburan Disyaki Langgar Hak Cipta Diserbu

12/06/2026 04:09 PM

IPOH, 12 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu dua pusat hiburan di sekitar Taiping, semalam, kerana disyaki melakukan pelanggaran hak cipta dengan menggunakan salinan karya rakaman filem, bunyi dan lagu tanpa kebenaran bagi tujuan komersial.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan dilakukan pada 2.30 petang selepas pihaknya bertindak atas hasil aduan daripada wakil pemilik hak cipta.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua premis terbabit menggunakan set karaoke yang mengandungi salinan langgaran karya rakaman filem, bunyi dan lagu bagi tujuan perniagaan tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

“Kesemua unit set karaoke, monitor dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut. Rampasan keseluruhan melibatkan dua premis tersebut dianggarkan berjumlah RM56,235,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua pemilik premis berkenaan juga gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen kebenaran bagi karya filem yang dituntut oleh pemilik hak cipta.

Justeru, premis terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987 kerana memiliki, menjaga atau mengawal salinan langgaran bagi kegunaan selain kegunaan persendirian dan domestik.

Kamalludin berkata KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras pelanggaran hak cipta selain mengingatkan semua pihak terlibat supaya memohon kelulusan daripada pemilik hak cipta bagi mengelak tindakan tegas mengikut Akta Hak Cipta 1987.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2567761