AM

Perlis Rancang Bina Litar Permotoran Di CVIA

12/06/2026 10:42 PM

KANGAR, 12 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis merancang pembinaan sebuah litar permotoran di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dekat Padang Besar melibatkan kawasan seluas kira-kira 13.35 hektar.

Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata pembinaan berkenaan melibatkan kerjasama Menteri Besar Incorporated (MBI) Perlis dengan sebuah syarikat swasta di negeri itu bagi memperkukuh pembangunan sektor sukan dan merancakkan aktiviti ekonomi negeri.

Beliau berkata syarikat swasta itu melabur RM20 juta untuk kerja pembinaan litar berkenaan manakala kerajaan negeri menyediakan tanah tersebut.

“Pelaksanaan projek ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor permotoran di Perlis selain membuka peluang kepada penganjuran aktiviti dan acara berkaitan pada masa hadapan.

"Selain itu ia dijangka merangsang sektor pelancongan sukan, mewujudkan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat serta memperluas penyertaan golongan muda dalam bidang permotoran," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Cadangan Hab Sukan Permotoran Bersepadu Perlis di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Abu Bakar berkata litar itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan permotoran moden dan mempunyai laluan lurus sepanjang kira-kira 1.3 kilometer.

Beliau berkata acara pecah tanah bagi projek pembinaan litar itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi dan bakal siap dalam tempoh tiga tahun.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2567897