AM

UMK Bangunkan Teknologi Pelembutan Tulang Terubuk, Tingkat Potensi Komersial

13/06/2026 11:31 AM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

KOTA BHARU, 13 Jun (Bernama) -- Penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya membangunkan teknologi inovatif pelembutan tulang ikan terubuk, yang membolehkan ikan itu dimakan bersama tulangnya dengan selamat tanpa menjejaskan rasa, tekstur dan nilai pemakanan.

Ketua projek, Profesor Dr. Raja Suzana Raja Kasim berkata teknologi yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik dengan syarikat SM Qlazsixco Sdn. Bhd. di bawah Program Padanan Industri Fasa 3 Tahun 2024 (IMaP 3.0) itu menggunakan kaedah Pemprosesan Tekanan Tinggi, yang digabungkan dengan rawatan haba terkawal.

Beliau berkata kajian yang bermula pada April 2024 itu berjaya mengurangkan masa pemprosesan berbanding kaedah konvensional selain meningkatkan kapasiti pengeluaran secara lebih konsisten dan cekap untuk tujuan pengkomersialan.

“Teknologi ini dapat memastikan tekstur, rasa dan kandungan nutrisi produk dikekalkan, selain menghasilkan produk makanan sedia dimakan yang lebih selamat, berkualiti tinggi dan mempunyai jangka hayat simpanan lebih panjang.

"Inovasi itu berjaya mengatasi cabaran utama ikan terubuk yang terkenal dengan tulang halus yang banyak, sekali gus meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna serta memberikan nilai tambah kepada industri pemprosesan makanan berasaskan perikanan," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Raja Suzana berkata kejayaan penyelidikan itu turut menghasilkan dua pemfailan paten berkaitan teknologi pelembutan tulang ikan menggunakan kaedah HPP, sekali gus membuktikan potensi besar inovasi berkenaan untuk dikomersialkan pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau berkata syarikat SM Qlazsixco Sdn. Bhd. memainkan peranan penting dalam penyediaan geran padanan industri, pembangunan serta pengujian produk pada peringkat industri, selain membantu mempercepat proses pengkomersialan teknologi yang dibangunkan.

Selain membangunkan teknologi berkenaan, syarikat itu turut menghasilkan pelbagai produk hiliran berasaskan ikan terubuk, termasuk sambal ikan terubuk, terubuk asam pedas, terubuk kari, terubuk rendang dan terubuk gulai tempoyak, dengan 10 produk telah memperoleh pensijilan halal bagi memperluas pasaran tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568009