ISTANBUL, 14 Jun (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu berkata satu perjanjian dengan Iran dijadual dimeterai pada Ahad dan Selat Hormuz akan kembali “dibuka kepada semua” sejurus selepas itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Perjanjian itu dijadual dimeterai esok dan sebaik sahaja ia ditandatangani, Selat Hormuz AKAN DIBUKA KEPADA SEMUA,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.
Terdahulu pada Sabtu, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, yang menjadi pengantara gencatan senjata dalam perang AS-Israel terhadap Iran pada April dan terlibat dalam rundingan sejak itu, berkata perjanjian itu boleh dimuktamadkan dalam tempoh 24 jam akan datang.
Beliau berkata Pakistan sedang membuat persediaan bagi pemeteraian perjanjian damai secara elektronik, diikuti rundingan di peringkat teknikal minggu depan.
Trump berkata perjanjian dengan Iran itu akan menjadi “penghalang kepada senjata nuklear.”
Beliau mendakwa Tehran tidak lagi mahu memiliki senjata nuklear dan tidak akan memperolehnya sama ada melalui pembelian, pembangunan atau sebarang bentuk pemerolehan lain.
“Hubungan kami dengan Iran jauh berbeza dan lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu,” katanya sambil mengkritik dasar Iran oleh pentadbiran sebelum ini dan menegaskan tiada wang akan dipindahkan kepada Tehran.
Trump turut berkata AS akan mengambil sisa bahan nuklear di Iran dan memusnahkannya.
“Pada masa yang sesuai, apabila keadaan kembali tenang, kami akan mengambil sisa bahan nuklear yang ditanam jauh di bawah pergunungan granit yang kukuh, hasil bantuan pesawat pengebom B-2 kami dan juruterbang hebat mereka, lalu mengurangkan tahap pengayaan bahan nuklear itu serta memusnahkannya sama ada di Iran atau AS,” katanya.
“Kami menantikan kerjasama dengan Iran dan seluruh Asia Barat untuk tempoh panjang pada masa hadapan. Diharapkan proses ini berjalan dengan cepat, mudah dan lancar. Jika tidak, kami mempunyai alternatif terakhir, yang diharapkan tidak perlu digunakan lagi!”
Pegawai AS turut berkata pemeteraian itu akan dilakukan secara maya atas faktor logistik, menurut laman berita Axios.
Bagaimanapun, Iran menafikan bahawa pemeteraian itu akan berlangsung pada Ahad.
“Kita perlu menunggu dan melihat masa tepat memorandum itu akan ditandatangani. Walaupun ia bukan esok, kemungkinan ia berlaku dalam beberapa hari akan datang tidak boleh diketepikan,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei.
“Pasukan perunding kami tidak merancang untuk ke Geneva atau mana-mana lokasi lain dalam tempoh dua hari akan datang. Kita perlu tunggu dan lihat bila tarikh sebenar pemeteraian,” katanya.
AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Feb berhubung program nuklear Tehran dan usaha “menghapuskan ancaman segera daripada rejim Iran.” Tehran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Israel dan sekutu AS di Teluk, selain menutup Selat Hormuz sehingga menjejaskan eksport minyak dan gas global.
-- BERNAMA-ANADOLU