KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Ketika pemain bola sepak profesional hari ini menikmati kontrak lumayan sehingga mencecah jutaan ringgit, bekas pemain kebangsaan Abdul Hamid Gani masih mengingati saat beliau terpaksa ke bank untuk menuntut ganjaran RM50 selepas membantu Selangor mara ke final Piala HMS Malaya 1966.
Hamid, 87, berkata turut tidak dapat dilupakan, medal yang diterima selepas final itu hanyalah sebesar kira-kira duit syiling 10 sen.
Namun katanya, nilai sebenar bola sepak pada era itu bukan terletak pada wang ringgit, sebaliknya minat yang mendalam terhadap sukan berkenaan.
“Masuk final Piala HMS Malaya dapat RM50 sahaja. Pengurus datang beritahu tunai tak cukup dan suruh pemain pergi ambil sendiri di bank. Dalam hati saya masa itu, biarlah. Yang penting kami dapat bermain dan mewakili pasukan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya baru-baru ini
Bekas pertahanan Selangor dan skuad kebangsaan itu berkata bola sepak Malaysia telah berubah secara drastik sepanjang enam dekad lepas, terutama selepas era profesional diperkenalkan.
Katanya, pemain hari ini sememangnya berhak menikmati ganjaran yang lebih besar berikutan tuntutan profesionalisme dan komitmen dalam karier mereka, namun ada segelintir yang gagal memanfaatkan peluang tersebut untuk membina masa depan.
Hamid turut menyifatkan perbezaan terbesar yang beliau saksikan bukanlah dari segi kemudahan atau gaji sahaja, sebaliknya motivasi ditampilkan barisan pemain negara sama ada dalam liga tempatan mahupun aksi antarabangsa.
“Dulu semangat itu lain. Kami mahu bermain kerana cintakan bola sepak. Sekarang ada pemain yang dapat gaji besar. Itu tidak salah, tetapi jangan sampai lupa kenapa mereka mula bermain bola sepak. Bola sepak ini tidak lama. Saya selalu pesan kepada pemain muda, simpan duit dan fikir masa depan.
“Ramai yang lupa kerjaya bola sepak ada penghujungnya, kalau pemain itu bagus, mereka memang layak dibayar. Sekarang bola sepak sudah profesional tetapi zaman kami berbeza. Kami main kerana minat. Duit bukan perkara utama,” katanya.
Sebelum mencipta nama bersama Selangor dan skuad kebangsaan, Hamid terlebih dahulu menempa reputasi sebagai pemain bola sepak yang disegani di Australia ketika melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi di Queensland University pada penghujung 1950-an.
Beliau memulakan karier bersama Merton Rovers dalam liga Divisyen Satu Queensland dan membantu kelab itu muncul juara liga pada 1962 sebelum dipilih mewakili Queensland pada 1963 dan 1964, menjadikannya antara pemain kelahiran Malaysia yang berjaya menembusi skuad negeri Australia pada era berkenaan.
Sekembalinya ke tanah air pada 1964, beliau menyertai Selangor sebelum menerima panggilan ke skuad kebangsaan, sekali gus beraksi di pentas antarabangsa bersama beberapa legenda bola sepak negara termasuk Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat.
Dalam pada itu, Hamid berpendapat bola sepak moden semakin pantas dan lebih berasaskan kekuatan fizikal, namun kehilangan sebahagian seni permainan yang pernah menjadi identiti era terdahulu.
“Dulu orang datang ke stadium sebab mahu tengok pemain tertentu. Mereka datang untuk melihat bakat dan kreativiti. Sekarang permainan lebih laju, lebih fizikal. Itu perkembangan bola sepak, tetapi seni permainan itu semakin kurang,” katanya.
Beliau berkata meskipun banyak perubahan berlaku, Hamid percaya satu perkara tidak sepatutnya berubah, iaitu kecintaan terhadap jersi yang dipakai.
“Bermain untuk negeri atau negara adalah satu penghormatan. Dulu kami mungkin tidak dapat banyak wang, tetapi kami bermain dengan hati. Itu yang saya harap masih ada dalam pemain hari ini,” katanya.
-- BERNAMA