SEGAMAT, 14 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan RM10 juta pada tahun ini, khususnya bagi pelaksanaan program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) untuk manfaat kira-kira 1,300 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal bersara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan program intervensi itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab kementerian bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup veteran tentera terus terbela.
Beliau berkata melalui program WBL itu, segala pengalaman dan kepakaran anggota sepanjang berkhidmat dalam ATM akan dinilai serta diiktiraf secara formal dengan kerjasama Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Pengiktirafan itu membolehkan anggota dianugerahkan diploma yang selari dengan kepakaran mereka seperti diploma kulinari, hospitaliti, jurulatih sukan, dan pengurusan tanpa perlu menduduki peperiksaan formal.
"Sebahagian besar anggota masuk tentera dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan apabila pencen pada umur 41 atau 42 tahun, mereka keluar mencari pekerjaan juga menggunakan SPM, sekali gus menyukarkan mereka bersaing dalam pasaran luar.
"Melalui program WBL ini, sekurang-kurangnya mereka keluar dengan diploma, yang kos penilaian RM6,500 setiap individu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Rejimen Keempat Artileri Diraja Kem Segamat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata kementerian turut mengubah pendekatan latihan peralihan yang dikendalikan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dengan mengorientasikannya secara terus bersama pihak industri.
Langkah itu bagi memastikan setiap anggota yang tamat menjalani latihan peralihan selama enam bulan akan terus diserap ke dalam sektor pekerjaan bersesuaian tanpa perlu mencari pekerjaan sendiri dengan pendapatan yang bermaruah.
-- BERNAMA