PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Kerjasama antara kerajaan, institusi filantropi, pertubuhan alam sekitar dan masyarakat amat diperlukan dalam memajukan agenda kelestarian negara.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata menangani isu dan cabaran alam sekitar memerlukan penglibatan seluruh lapisan masyarakat.
“Walaupun dasar dan inisiatif kebangsaan memainkan peranan penting, perubahan yang berkekalan hanya dapat dicapai apabila amalan kelestarian menjadi sebahagian daripada kehidupan harian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Hari Alam Sekitar Sedunia anjuran Yayasan Sime Darby (YSD) yang menghimpunkan rakan strategik alam sekitar, penyelidik, sekolah, perusahaan sosial dan organisasi komuniti bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah pencarian harta karun bertemakan kelestarian, program pembersihan tasik, bengkel berkebun dan pengkomposan, demonstrasi pengasingan sisa, aktiviti guna semula kreatif, ceramah alam sekitar serta pengalaman pembelajaran berkaitan biodiversiti untuk kanak-kanak dan keluarga.
Bertemakan “Memupuk Kelestarian Melalui Kesukarelawanan dan Tindakan Komuniti” dan berpandukan mesej “Tindakan Kecil, Impak Besar”, program itu mencerminkan kempen global Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 yang menyeru tindakan iklim secara kolektif dan penglibatan lebih besar daripada sektor perniagaan serta komuniti dalam membina masa depan yang lebih lestari.
Dengan menterjemahkan kesedaran alam sekitar kepada tindakan praktikal, Hari Alam Sekitar Sedunia YSD 2026 bertujuan menunjukkan bagaimana pilihan harian mampu menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
-- BERNAMA