DUNIA

Menteri Digital Jerman Dipersoal Guna AI Dalam Teks Rasmi

14/06/2026 04:39 PM

BERLIN, 14 Jun (Bernama-dpa) -- Menteri Hal Ehwal Digital Jerman Karsten Wildberger dipersoal media negara itu susulan dakwaan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penyediaan teks rasmi, lapor agensi berita Jerman dpa.

Kontroversi itu timbul ketika Jerman berusaha mempercepat penggunaan teknologi digital menerusi kementerian baharu yang ditubuhkan pada 2025 bagi memodenkan pentadbiran awam dan menyelaras dasar digital.

Jurucakap kementerian mengesahkan kepada dpa bahawa Wildberger menggunakan AI sebagai alat sokongan kerja.

“Menteri Wildberger menggunakan AI sebagai alat sokongan kerana beliau yakin Jerman perlu segera mempelajari cara menggunakan kecerdasan buatan secara produktif tetapi terkawal. Ini terpakai kepada ekonomi, sektor awam dan politik,” kata jurucakap itu.

Akhbar mingguan Die Zeit melaporkan beberapa ucapan dan artikel pandangan yang dikaitkan dengan Wildberger dipercayai sebahagian besarnya dijana menggunakan AI.

Menurut akhbar itu, penemuan berkenaan dibuat berdasarkan analisis menggunakan perisian yang direka untuk mengesan kandungan dijana AI.

Bagaimanapun, beberapa pakar menyatakan perisian pengesanan sedemikian belum sepenuhnya boleh dipercayai.

Menurut laporan itu, artikel yang diterbitkan atas nama Wildberger di akhbar utama Jerman, selain beberapa ucapan di Parlimen, menunjukkan petunjuk meluas penggunaan bantuan AI.

Satu ucapan yang disampaikan di badan pemikir dasar luar Amerika Syarikat (AS), Atlantic Council, di Washington pada 2024 turut didakwa dijana sepenuhnya oleh AI.

Kementerian itu berkata tiada pendedahan khusus dibuat kepada organisasi media kerana AI dianggap sebagai alat sokongan setanding dengan pemprosesan perkataan atau bantuan penyelidikan.

“AI boleh digunakan sebagai rakan percambahan idea -- untuk menyusun idea, mencadangkan frasa alternatif, memendekkan teks atau memperkemas struktur,” kata jurucakap itu.

Beliau menegaskan semua kandungan disemak dan diluluskan manusia sebelum diterbitkan bagi mengelakkan kesilapan dan maklumat tidak tepat yang dijana AI.

-- BERNAMA-dpa

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568418