JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Rugi RM9 Juta Diperdaya Pelaburan Tidak Wujud Di Kuching

14/06/2026 09:21 PM

KUCHING, 14 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan berusia 79 tahun kerugian RM9.081 juta selepas terperdaya dengan pelaburan saham dan tawaran awam permulaan (IPO) tidak wujud menerusi sebuah aplikasi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan hari ini berkata mangsa ditawarkan pelaburan itu oleh suspek pada Januari lepas. 

“Mangsa dijanjikan pulangan keuntungan berlipat kali ganda.

“Percaya dengan tawaran itu, mangsa membuat 27 transaksi pemindahan wang ke sembilan akaun bank membabitkan jumlah keseluruhan RM9.082 juta,” katanya.

Alexson berkata mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM1,000 dan sedar ditipu selepas gagal mengeluarkan wang pelaburan serta keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi tersebut. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568537