KOTA BHARU, 14 Jun (Bernama) -- Ketiadaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Kampung Gok Kapur, di sini pada 8 Jun lepas tidak menghalang usaha pakar forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti punca sebenar kebakaran besar di kampung itu.
Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata pasukan penyiasat bomba menggunakan kaedah saintifik melalui analisis 'corak kesan kebakaran’ (burn patterns) di lokasi kejadian untuk menjejak titik permulaan api.
Beliau berkata melalui bukti fizikal itu serta dipandu oleh kenyataan empat saksi utama, pihak bomba kini berjaya mengecilkan skop siasatan.
“Hasil pemeriksaan forensik yang diteliti di zon permulaan api mendapati semua sistem elektrik dan penyambungan peralatan berada dalam keadaan baik, sekali gus menolak sepenuhnya teori litar pintas.
“Buat masa ini, kami juga menolak kemungkinan perbuatan khianat berdasarkan bukti dan maklumat yang diperoleh setakat ini. Justeru, siasatan awal kini menjurus kepada kemungkinan kebakaran berpunca daripada aktiviti memasak atau bermain api di kawasan berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata unsur kecuaian manusia tetap diambil kira dalam siasatan ini, dan fokus kini tertumpu sepenuhnya kepada petunjuk yang mempunyai kebarangkalian paling tinggi untuk disahkan sebagai punca mutlak.
Farhan Sufyan berkata ketiadaan bukti digital CCTV tidak memperlahankan rentak kerja pasukan penyiasat.
“Sebaliknya, komitmen tinggi dipamerkan JBPM Kelantan bagi memastikan keadilan dan jawapan dapat diberikan segera kepada mangsa terlibat.
“Mengikut Petunjuk Prestasi Utama jabatan, laporan penuh siasatan forensik ini akan siap sepenuhnya dalam tempoh 14 hari dari tarikh kejadian,” katanya.
Pada 8 Jun lepas, 27 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapur, dengan pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
-- BERNAMA