AM

PKPS Sumbang Lebih 2,000 Pisang SFV Sempena Fun Walk HAWANA 2026

15/06/2026 12:59 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyumbang lebih 2,000 biji pisang Cavendish segar kepada peserta Fun Walk HAWANA 2026 di Taman Tasik Titiwangsa di sini, semalam sebagai tanda sokongan terhadap sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

PKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan menerusi hab agropelancongannya, Selangor Fruit Valley (SFV) mencerminkan komitmen berterusan perbadanan itu dalam mempromosikan amalan gaya hidup sihat serta menghargai peranan pengamal media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Pisang Cavendish yang disumbangkan merupakan hasil tanaman SFV melalui Agriculture Centre of Excellence (ACE).

“PKPS akan terus memperkasakan projek SFV sebagai destinasi agropelancongan bertaraf antarabangsa yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi agro negeri dan pertumbuhan sektor pelancongan domestik,” menurut kenyataan itu.

PKPS memaklumkan SFV yang terletak di Bestari Jaya, Selangor, turut menerima pelancong antarabangsa daripada pelbagai negara termasuk United Kingdom, Australia, Rusia, Afrika, China, India, Jepun dan Korea selain pengunjung tempatan.

“Pada 2025, SFV mencatatkan kira-kira 100,000 pengunjung dan menyasarkan peningkatan kepada 150,000 pengunjung pada 2026, sejajar dengan usaha memantapkan sektor agropelancongan negeri,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, PKPS memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dijadual mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama di sini esok sebagai susulan kepada program Fun Walk HAWANA 2026.

“Kunjungan yang bertujuan mengukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua pihak, di samping membincangkan isu-isu berkaitan keterjaminan makanan negara serta peranan PKPS dalam mendepani cabaran bekalan makanan masa hadapan.

“Antara fokus perbincangan termasuk strategi keterjaminan makanan Selangor dan langkah proaktif PKPS dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara secara mampan dan berdaya tahan,” menurut kenyataan itu.

Mohamad Khairil turut dijadualkan menjadi tetamu jemputan dalam slot Apa Khabar Malaysia di Bernama TV (Astro 502) serta Bernama Radio (FM 93.9) bagi berkongsi maklumat berkaitan usaha dan inisiatif PKPS dalam memperkukuh sektor agromakanan negeri Selangor.

“PKPS berharap sumbangan dan penglibatan aktif ini dapat mengeratkan kerjasama antara sektor korporat dan media, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menyokong produk pertanian tempatan demi keterjaminan makanan negara,” menurut kenyataan perbadanan itu.

PKPS, anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang ditubuhkan pada 1972, berperanan memacu sektor pertanian dan agromakanan negeri seiring dengan perkembangan sosioekonomi rakyat Selangor melalui pelaksanaan pelbagai projek komersial dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak tinggi kepada masyarakat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568648