KOTA BHARU, 18 Jun (Bernama) -- Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera parah dipercayai dipukul seorang individu tidak dikenali dalam kejadian samun di Kampung Mesira, Palekbang, Tumpat, semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata siasatan awal mendapati suspek bertindak memukul mangsa pada bahagian muka dan kepala menggunakan sebatang kayu.
Beliau berkata laporan kejadian itu diterima kira-kira 11 pagi daripada bapa mangsa yang berusia lingkungan 50-an selepas anak perempuannya ditemukan di kawasan semak berhampiran tali air oleh orang awam.
“Pengadu yang pergi ke lokasi mendapati mangsa dalam keadaan separuh sedar serta mengalami kecederaan parah pada bahagian muka, kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata mangsa yang keluar beriadah pada kira-kira 7 pagi tidak pulang ke rumah menyebabkan keluarganya mencarinya sejak 10 pagi sebelum dimaklumkan mengenai penemuan remaja itu.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tumpat untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Zainab II, Kota Bharu bagi menerima rawatan lanjut daripada pakar,” katanya.
Beliau berkata telefon bimbit remaja itu turut dipercayai dilarikan suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Insp Zulazri di talian 011-11486922,” katanya.
-- BERNAMA