IPOH, 19 Jun (Bernama) -- Empat lelaki warga Vietnam dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Gerik atas pertuduhan memasuki Hutan Simpan Belum, Gerik tanpa permit bulan lepas.
Jabatan Perhutanan Negeri Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan menjatuhkan hukuman itu kepada Van Suot Doan, Van Sau Doan, Van Hai Nguyen dan Thanh Tam Nguyen hari ini selepas mereka mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kesemua tertuduh ditangkap dalam kompartmen 322, Hutan Simpan Belum pada 4 pagi, 14 Mei lepas, oleh pasukan bersepadu Operasi Khazanah yang dianggotai Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Jabatan Perhilitan, Perbadanan Taman Negeri Royal Belum serta Pasukan Polis Gerakan Am (PGA) Perak.
"Tertuduh dibantu jurubahasa merayu hukuman diringankan, namun Majistret Muhammad Firdaus menjelaskan hukuman setimpal perlu diberikan untuk memberi pengajaran dan mendidik kesedaran kepada masyarakat awam tentang kepentingan memiliki Permit Memasuki Hutan Simpan sebelum masuk dan menjalankan apa-apa aktiviti dalam hutan di negara ini," menurut kenyataan itu.
Menurut jabatan itu, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Perak Qurratu'aini Khalifah, manakala pasukan pegawai penyiasat jabatan tersebut diketuai Mohd Khairul Anuar Rahim dan Muhammad Shahrul Annuar Hasaini.
Pengarah Perhutanan Negeri Perak Datuk Mohd Basri Abdul Manaf dalam kenyataan sama menegaskan pihaknya sentiasa komited menjalankan operasi penguatkuasaan hutan dan tidak akan berkompromi terhadap perbuatan individu atau kumpulan yang memasuki hutan simpan negeri Perak tanpa kebenaran.
-- BERNAMA