KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Sebanyak lima persatuan perubatan dan insurans/takaful memaklumkan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan komunikasi dan kecekapan operasi dalam kalangan doktor, hospital, syarikat insurans dan pengendali takaful.
Kelima-lima persatuan itu ialah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka menyatakan inisiatif berkenaan adalah untuk menambah baik pengalaman pelanggan secara menyeluruh di seluruh ekosistem penjagaan kesihatan yang dilaksanakan melalui platform Jawatankuasa Protokol dan Penyelesaian Rakan Penjagaan Kesihatan (HPPSC).
Inisiatif berkenaan meliputi empat kategori secara umum iaitu meningkatkan komunikasi antara pengamal perubatan dan syarikat insurans serta pengendali takaful; mempertingkatkan ketelusan dalam proses pemilihan panel dan semakan untuk kemudahan tanpa tunai; menambah baik kecekapan operasi pengurusan tuntutan insurans perubatan dan kesihatan/takaful; serta memperkemas proses pengeluaran surat jaminan.
Kenyataan itu menyebut satu talian hotline khas "doktor ke doktor" ditubuhkan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful pada 30 April, 2026, untuk menyokong dan menangani pertanyaan tuntutan serta membolehkan perbincangan langsung antara pengamal perubatan dan pasukan penasihat perubatan syarikat insurans dan pengendali takaful.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell berkata inisiatif berkenaan secara umumnya dirancang untuk memberi manfaat kepada pesakit dan pemegang polisi.
“Memandangkan keperluan penjagaan kesihatan terus berkembang, adalah penting untuk syarikat insurans, pengendali takaful, penyedia penjagaan kesihatan dan pengawal selia bekerjasama bagi membangunkan penyelesaian yang praktikal dan mampan.
“Selain itu ia menyokong akses penjagaan yang tepat pada masanya di samping memastikan kemampuan dan kemampanan jangka panjang perlindungan insurans dan takaful perubatan serta kesihatan untuk rakyat Malaysia,” kata beliau.
Dr Gunalan Palari daripada MMA berkata penjagaan pesakit yang berkesan bergantung kepada kerjasama yang kukuh dan persefahaman bersama dalam kalangan semua pihak yang terlibat.
“Melalui HPPSC, kami mewujudkan platform yang membina untuk membolehkan penyedia penjagaan kesihatan dan pembiaya penjagaan kesihatan menangani cabaran operasi, menambah baik komunikasi dan membangunkan penyelesaian yang menyokong hasil klinikal dan pesakit dengan lebih baik.
“Pelaksanaan inisiatif seperti talian hotline ‘doktor ke doktor’ menunjukkan komitmen bersama kami untuk memastikan pesakit menerima rawatan yang tepat pada masanya, sesuai dan diselaraskan,” tambahnya.
-- BERNAMA