SUKAN

Replika Trofi Piala Dunia Jadi Rebutan Pengamal Media Di Fiesta SPxSAM Goal & Smash

20/06/2026 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Demam Piala Dunia 2026 yang sedang berlangsung kini ‘menjangkiti’ pengamal media tempatan apabila replika trofi ikonik itu menjadi rebutan utama dalam kejohanan SPxSAM Goal & Smash World Cup Fiesta 2026, hari ini.

Penganjuran julung kali hasil kolaborasi strategik antara Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan SP Sports Parks itu bertujuan menghimpunkan pengamal media untuk bersukan dan beriadah dalam suasana penuh kemeriahan Piala Dunia.

Exco Sukan SAM Firdaus Hashim berkata kejohanan tersebut merupakan inisiatif tahunan persatuan namun edisi kali ini tampil lebih istimewa bagi memberi ruang kepada warga media merasai sendiri bahang kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.

"Bersempena dengan Piala Dunia, kita anjurkan fiesta ini untuk memeriahkan suasana bersama pengamal media kerana inilah masa sesuai untuk kita kumpulkan semua pengamal media yang setiap hari bertugas mencari bahan berita. 

“Sambil bersukan, kita boleh menonton perlawanan menerusi layar gergasi yang disediakan di sini," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini. 

Beliau berkata sambutan bagi edisi kali ini amat luar biasa dengan penglibatan lapan agensi media antaranya Bernama, Media Prima, RTM, Utusan dan Kosmo, selain penyertaan empat rakan strategik SAM yang bersaing dalam acara futsal dan Pickleball.

Katanya, program itu turut menjadi medan santai buat petugas media yang terpaksa bekerja 24 jam berikutan perbezaan waktu perlawanan bagi memastikan laporan berita sampai ke pengetahuan peminat sukan tanah air.

Sementara itu, wakil penganjur SP Sports Parks Daniel Wong berkata beliau amat berbangga dapat bekerjasama dengan SAM dalam menyediakan fasiliti terbaik buat komuniti media yang selama ini banyak memberi sokongan kepada pembangunan sukan.

"Ia adalah idea yang sangat hebat kerana inilah yang kita perlukan daripada media dan komuniti, bekerja bersama-sama untuk membina komuniti orang yang bersemangat untuk bukan sahaja bermain, tetapi menonton bola sepak bersama-sama," katanya. 

Menyentuh mengenai replika trofi Piala Dunia yang menjadi tumpuan peserta, Daniel menjelaskan trofi tersebut ditaja khas oleh pihaknya bagi memberikan impak maksimum kepada pemenang acara futsal.

Bagi acara futsal, juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM800 beserta pingat dan replika trofi Piala Dunia berkenaan manakala acara Pickleball pula, juara bakal meraih hadiah tunai RM300 beserta trofi khas yang direka mengikut identiti sukan tersebut. 

Sementara itu, saingan Pickleball mencetuskan sensasi tersendiri apabila gandingan sulung Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif dan Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad membuktikan magis mereka untuk merangkul gelaran juara.

Membawa nama 'Mexico', gandingan wartawan Bernama itu mempamerkan aksi bertenaga sebelum mengesahkan kemenangan mutlak ke atas wakil TV3 yang mewakili 'Argentina’ pada pentas final. 

“Satu permainan yang baik, gandingan yang hebat dan sedikit rezeki menyebelahi kami. Syukur atas kemenangan ini. Terima kasih kepada SAM dan SP Sports Park selaku penganjur atas kejohanan yang meriah. 

“Ia lebih manis apabila dapat bertemu serta mengeratkan silaturahim bersama rakan-rakan SAM,” kata Ahmad Nazrin Syahmi.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570760