KUCHING, 21 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menziarahi Datuk Seri Nancy Shukri di kediamannya di Petra Jaya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu baru kehilangan suaminya, Datuk Kamil Misuari, Khamis lepas.
Anwar yang tiba pada 5.45 petang meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama Nancy serta ahli keluarga.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud serta Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Pada Khamis, Pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi kenyataan memaklumkan Kamil meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang di sini pada Jumaat selepas diterbangkan dari Kuala Lumpur.
Allahyarham yang berusia 65 tahun berkahwin dengan Nancy pada 1985 dan dikurniakan tiga anak.
-- BERNAMA