AM

Tiga Pegawai Terima Watikah Penempatan Jawatan Baharu

22/06/2026 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Tiga pegawai termasuk dua daripada Kementerian Komunikasi, menerima watikah penempatan ke jawatan baharu berkuat kuasa hari ini.

Mereka ialah Khalid Mohamed sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam; Erwin Khairul Ahmad sebagai Ketua Pengarah Penerangan; serta Wan Saidatul Shafina Mohd Amin selaku Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan watikah penempatan baharu tersebut disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Turut mengiringi sesi penyampaian watikah tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail dan Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan, JPA Aida Maizura Mazlan.

JPA mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pegawai dan berharap agar mereka terus cemerlang dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571601