SHAH ALAM, 23 Jun (Bernama) -- Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dirangka selepas mengambil kira hasil daripada pelaksanaan langkah penjimatan serta pengurusan kewangan negeri secara teliti, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata ini dilaksanakan menerusi penetapan siling perbelanjaan mengurus dan pembangunan, masing-masing pada kadar 95 peratus dan 90 peratus dalam Belanjawan Selangor 2026 yang sekali gus menghasilkan lebihan kira-kira RM230 juta daripada keseluruhan peruntukan RM3 bilion diumumkan pada tahun lepas.
“Kita telah membelanjakan RM140 juta bagi pakej fasa satu manakala Fasa 2 pakej (berjumlah) lebih RM200 juta yang mana daripada RM230 juta (lebihan) kalau kita cerakinkan RM93 juta adalah (menerusi) pengoptimuman perbelanjaan pengurusan manakala RM137 juta daripada perbelanjaan pembangunan,” katanya sewaktu menggulung pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Pada Jumaat lepas, Amirudin mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2, merangkumi 15 inisiatif dengan peruntukan RM209.26 juta sebagai langkah strategik mendepani krisis tenaga global susulan situasi di Asia Barat.
Inisiatif yang digariskan itu bukan hanya bantuan berbentuk tunai tetapi turut melibatkan langkah-langkah pemerkasaan ekonomi secara holistik, agar hasil yang diperoleh negeri berkenaan dapat dimanfaatkan oleh keseluruhan masyarakat.
Menjelaskan selanjutnya, Amirudin berkata inisiatif yang diumumkan dalam pakej berkenaan turut disokong oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi perkongsian dana dalam beberapa inisiatif yang diumumkan sebelum ini.
Beliau berkata ini termasuk inisiatif makanan percuma merangkumi peruntukan berjumlah RM14.4 juta dengan RM9.6 juta ditanggung secara kolektif oleh pihak PBT manakala kerajaan negeri mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM4.8 juta.
“Bagi contoh PKPS, kita tetapkan perbelanjaan Gudang Makanan Selangor sebanyak RM50 juta iaitu RM25 juta daripada kerajaan negeri dan RM25 juta lagi perlu dikeluarkan daripada rizab (sumber kewangan) PKPS sendiri. Kita yakin ini cukup dan tak sampai 10 peratus dari (jumlah) simpanan mereka,” katanya.
Mengulas aspek penjimatan, Amirudin berkata ini dilaksanakan menerusi penilaian terhadap projek-projek yang berkepentingan, menggugurkan pelaksanaan program tidak wajar, kawalan lawatan ke luar negara serta inisiatif bekerja dari rumah.
Beliau turut menegaskan perbelanjaan membabitkan kebajikan masyarakat tidak dipotong sebaliknya hanya menumpukan perbelanjaan projek tidak kritikal.
“Penyusunan perbelanjaan itu kita buat awal kerana keadaan krisis (global) dan terpaksa dilakukan agar dapat menjamin kedudukan dan kelestarian negeri,” katanya.
Amirudin berkata kerajaan negeri juga setakat ini mendapati tiada sebarang keperluan untuk mengeluarkan perbelanjaan tambahan sekurang-kurangnya sehingga pembentangan Belanjawan 2027, namun ini turut bergantung kepada kedudukan hasil kerajaan negeri dan keperluan semasa.
-- BERNAMA