GAYA HIDUP

Kampung Adat Seri Banian Bawa Pengunjung Menyelusuri Zaman Kesultanan Melayu

24/06/2026 09:51 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

PENDANG, 24 Jun (Bernama) -- Di hujung Kampung Bendang Bukit di sini, tersembunyi sebuah perkampungan unik yang membawa pengunjung menyelami suasana kehidupan masyarakat Melayu pada zaman Kesultanan Melayu.

Mengadaptasi suasana kurun ke-15, Kampung Adat Melayu Seri Banian kelihatan usang, iaitu sengaja dibina sedemikian rupa bagi mengekalkan suasana serta keaslian petempatan Melayu tradisional.

Pengasasnya Akhiri Rijalludin, 46, berkata idea membangunkan perkampungan adat itu adalah hasil pengembaraannya sebagai guru silat ke beberapa wilayah di Indonesia, Filipina dan Thailand yang mempunyai kampung adat masing-masing sebagai usaha memelihara warisan budaya masyarakat setempat.

pic-2

“Kita sengaja biarkan nampak usang kerana kita mahu lari daripada elemen moden. Malah, untuk mendapatkan suasana seperti yang ada sekarang pun mengambil masa hampir dua tahun,” katanya kepada Bernama bersempena dengan program Surreal Experience In The North Kedah & Perlis anjuran Tourism Malaysia Wilayah Utara, baru-baru ini.

Akhiri berkata Kampung Adat Melayu Seri Banian yang dibuka kepada pengunjung setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, mula dibangunkan pada 2019 di atas tanah seluas kira-kira 1.62 hektar milik bapa angkatnya menggunakan bahan binaan semula jadi seperti buluh, kayu hutan, kayu cenerai dan atap rumbia yang diperoleh dari kawasan sekitar.

“Setakat ini, pembangunan yang dilaksanakan baru meliputi kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan kawasan dengan kos  dianggarkan antara RM500,000 hingga RM600,000.

pic-3

“Ketika ini, kami mempunyai lima rumah adat dan sebuah kolam serta merancang membina Kolam Mandi Puteri, Kolam Mandi Putera, balairung seri, balai nobat, ruang aktiviti menyulam kain serta sebuah istana kecil pada masa depan bagi melengkapkan gambaran sebuah perkampungan Melayu tradisional,” katanya.

Akhiri, yang aktif sebagai jurulatih silat di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Brunei, Thailand dan Indonesia serta terlibat sebagai juri pertandingan masakan tradisional di peringkat serantau, berkata nama Seri Banian diilhamkan daripada latar masyarakat setempat yang majoritinya bertutur dalam bahasa Siam.

“Perkataan 'seri' membawa maksud bercahaya, manakala 'ban' dalam bahasa Siam bermaksud kampung dan 'nian' merujuk suasana yang hijau, cantik serta tenteram. Nama ini adalah simbol sebuah kampung yang aman. Saya mahu tempat ini menjadi ruang untuk orang mengenali budaya Melayu dan masyarakat setempat,” katanya.

pic-4

Selain menampilkan seni bina tradisional, Kampung Adat Melayu Seri Banian turut menjadi lokasi pelbagai aktiviti kebudayaan seperti persembahan silat, nyanyian, tarian dan muzik tradisional, terutama ketika musim cuti sekolah, yang digerakkan oleh ahli Persatuan Ukhwah Seri Banian.

Bagi melengkapkan pengalaman pengunjung, perkampungan itu turut menyediakan pelbagai hidangan tradisional yang dimasak berasaskan resipi warisan keluarganya, tertulis dalam sebuah buku masakan lama, mengandungi kira-kira 300 jenis masakan. 

“Daripada jumlah itu, kami tawarkan 121 jenis masakan dan  antara yang sering menjadi pilihan pengunjung ialah piyada, arnab rica-rica, puyuh bakar, ayam sembah diraja, nasi itik panggang, sate Seri Banian, sate anta brahi, ayam panggang anta kesuma dan pulut Seri Banian yang dimasak mengikut kaedah tradisional keluarga,” katanya.

pic-5

Walaupun terletak agak jauh dari laluan utama, keunikan kampung adat berkenaan tetap berjaya menarik perhatian pelancong dari pelbagai negara termasuk Perancis, New Zealand, Rusia, Korea Selatan, Libya dan Thailand.

Bagi Akhiri, Kampung Adat Melayu Seri Banian bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga medium untuk memperkenalkan semula adat, budaya dan cara hidup masyarakat Melayu kepada generasi muda.

“Kalau kita tidak pelihara budaya ini, lama-kelamaan mungkin hanya tinggal dalam buku. Saya mahu orang datang dan melihat sendiri bagaimana kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu supaya warisan ini terus dihargai,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572224