IPOH, 24 Jun (Bernama) -- Dua anggota polis cedera selepas bergelut dengan seorang lelaki dipercayai penagih dadah dalam satu kejadian di Kampung Sungai Jernih, Ijok dekat Selama, semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama telah menerima maklumat mengenai keberadaan suspek di sebuah pondok di tepi sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan, kira-kira 12 tengah hari.
Beliau berkata bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Selama telah menjalankan pemantauan di lokasi sebelum bertindak membuat tangkapan terhadap suspek.
"Semasa proses tangkapan dijalankan, suspek telah bertindak agresif dengan menyerang pihak polis menggunakan senjata tajam dipercayai sebilah pisau sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
"Dalam kejadian tersebut, dua pegawai rendah polis berpangkat sarjan berusia 44 tahun dan konstabel berumur 27 tahun telah mengalami kecederaan akibat bergelut dengan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Alwi berkata kedua-dua anggota polis berkenaan mendapat rawatan di hospital dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek termasuk melaksanakan Ops Tutup di laluan keluar dan masuk di sekitar kawasan kejadian bagi mengesan pergerakan suspek.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
"Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Selama melalui talian 05-8395 999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
-- BERNAMA