AM

Nature Mega Trail Bakal Perkenal Jeli Sebagai Destinasi Sukan Lasak Pantai Timur

25/06/2026 02:28 PM

KOTA BHARU, 25 Jun (Bernama) -- Jeli berpotensi muncul sebagai hab sukan lasak dan pelancongan pengembaraan di Pantai Timur menerusi penganjuran Jeli Nature Mega Trail 1.0 yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 5 Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Kamaruddin Md Noor berkata penganjuran julung kali itu merupakan langkah awal untuk memperkenalkan keunikan bentuk muka bumi daerah berkenaan kepada komuniti sukan permotoran dalam dan luar negara.

Beliau berkata Jeli memiliki pelbagai laluan semula jadi yang sesuai untuk aktiviti lasak termasuk trek hutan, jalan balak, kawasan berbukit dan laluan mencabar yang sukar diperoleh di lokasi lain.

“Jeli mempunyai kelebihan tersendiri dari segi landskap dan bentuk muka bumi yang sangat sesuai untuk aktiviti sukan permotoran lasak.

“Potensi ini boleh diketengahkan sebagai satu produk pelancongan baharu yang mampu menarik lebih ramai pengunjung serta peserta pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama.

Kamaruddin berkata laluan sejauh 180 kilometer yang merentasi kawasan Jeli dan Gual Ipoh, Tanah Merah itu bukan sahaja menawarkan cabaran kepada peserta, malah memberi peluang untuk memperkenalkan destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi yang terdapat di daerah berkenaan.

Antara lokasi yang akan diperkenalkan kepada peserta sepanjang program itu ialah Gunung Reng, Terowong Emas Kampung Kalai, Perkampungan Orang Asli Sungai Rual, Gua Setir dan Kampung Air Naga.

Beliau berkata pendedahan kepada destinasi tersebut mampu meningkatkan profil Jeli sebagai lokasi pilihan bagi penganjuran ekspedisi trail, rekreasi bermotor dan aktiviti pelancongan berasaskan pengembaraan.

“Kerajaan negeri melihat program seperti ini bukan sekadar acara sukan, sebaliknya sebagai platform strategik untuk membina jenama Jeli sebagai destinasi sukan lasak yang berpotensi berkembang ke peringkat antarabangsa.

“Jika mendapat sambutan baik, program ini berpotensi dijadikan acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri,” katanya.

Beliau berkata usaha itu sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempelbagaikan produk pelancongan Kelantan selain memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pilihan pelancong yang mencari pengalaman berasaskan alam semula jadi dan aktiviti lasak.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572763