KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara paling aman di dunia apabila berada di kedudukan ke-12 daripada 163 negara dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2026, meningkat satu anak tangga daripada tempat ke-13 pada 2025.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pencapaian itu sekali gus meletakkan Malaysia dalam kelompok negara paling aman di rantau Asia bersama-sama Singapura dan Jepun.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan hasil usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan negara sentiasa menjadi keutamaan.
"Pengiktirafan ini juga adalah hasil komitmen seluruh pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan serta semua pihak yang tidak pernah berkompromi dalam memelihara keamanan dan ketenteraman negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri akan terus memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan awam, memperkasakan penguatkuasaan undang-undang, memperketatkan kawalan sempadan negara, membanteras jenayah serta memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Katanya, keamanan bukan sekadar pencapaian, sebaliknya menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat, keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata usaha mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, selamat dan stabil akan terus diperkasakan demi manfaat seluruh rakyat.
“Tahniah dan penghargaan kepada semua anggota pasukan keselamatan, agensi penguatkuasaan serta seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama memainkan peranan dalam memelihara keamanan yang kita kecapi hari ini,” katanya.
Terdahulu GPI meletakkan Singapura di kedudukan kelapan dunia, diikuti Jepun di tangga ke-10 dan Malaysia di tempat ke-12, menjadikan ketiga-tiga negara itu antara yang paling aman di rantau Asia.
-- BERNAMA