PASARAN

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

25/06/2026 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal berada dalam wilayah negatif pada tengah hari ini apabila pelabur mengambil untung sambil terus berhati-hati berikutan ketiadaan pemangkin baharu pasaran, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.03 mata atau 0.41 peratus kepada 1,675.10 daripada paras 1,682.13 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka 2.32 mata lebih tinggi pada 1,684.45 dan bergerak antara 1,672.22 hingga 1,685.17 sepanjang sesi dagangan pagi.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 513 berbanding 399, manakala 461 kaunter tidak berubah, 1,378 tidak diniagakan dan 40 digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.56 bilion unit bernilai RM1.09 bilion.

Hong Leong Investment Bank berkata dalam tempoh terdekat, FBM KLCI dijangka kekal dalam fasa penyatuan dalam julat tertentu apabila pasaran menunggu pemangkin domestik yang lebih kukuh bagi mencergaskan semula minat belian.

Pasaran juga dipengaruhi oleh keseimbangan antara ketegangan yang semakin reda di Asia Barat dan harga minyak yang lebih rendah dengan kebimbangan berterusan mengenai limpahan konflik serta pendirian cenderung mengetatkan dasar monetari oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Press Metal Aluminium (PMetal) merosot 43 sen kepada RM7.86, Petronas Chemicals susut 15 sen kepada RM3.95, IOI Properties turun tujuh sen kepada RM4.03, IHH Healthcare kehilangan 14 sen kepada RM8.59 dan MISC berkurangan 12 sen kepada RM7.98.

Bagi kaunter aktif, Zetrix AI menambah satu sen kepada 76.5 sen, AirAsia X susut lima sen kepada RM1.25, Dagang NeXchange dan Bina Puri masing-masing tidak berubah pada 44 sen dan 29.5 sen, manakala Mestron turun satu sen kepada 7.5 sen.

Dalam kalangan kaunter untung, MPI melonjak RM1.12 kepada RM48.00, F&N meningkat 48 sen kepada RM27.88, UMS Integration naik 33 sen kepada RM8.50, Hong Leong Industries menokok 22 sen kepada RM18.94 dan Vitrox menambah 20 sen kepada RM7.55.

Bagi kaunter rugi utama, BLD merosot 50 sen kepada RM14.50, United Plantations susut 38 sen kepada RM33.24, Nestle berkurangan 34 sen kepada RM95.32 dan KLK turun 28 sen kepada RM21.32.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 37.76 mata kepada 12,436.90, Indeks FBMT 100 berkurangan 36.07 mata kepada 12,272.22 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 51.73 mata kepada 12,324.81.

Indeks FBM Mid 70 pula meningkat 12.82 mata kepada 17,900.08 manakala Indeks FBM ACE menambah 11.25 mata kepada 4,778.28.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 19.11 mata kepada 19,737.22, Indeks Tenaga berkurangan 3.71 mata kepada 746.49, Indeks Perladangan merosot 86.77 mata kepada 8,893.42 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 3.20 mata kepada 181.46.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572859