PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Kadar penyertaan tenaga buruh wanita yang meningkat kepada 56.2 peratus pada 2023 berbanding 45.7 peratus pada 1982 meletakkan negara pada landasan tepat untuk mencapai sasaran 60 peratus menjelang 2030 di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata trend peningkatan yang direkodkan sepanjang lebih empat dekad itu, mencerminkan peranan wanita yang semakin penting dalam pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi.
"Sepanjang tempoh masa empat dekad dari 1982 hingga 2023, kadar penyertaan tenaga buruh wanita meningkat, menunjukkan trend peningkatan daripada 45.7 peratus kepada 56.2 peratus.
"Di bawah sasaran Ekonomi MADANI, kita menyasarkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh ialah 60 peratus menjelang 2030, dan angka ini menunjukkan bahawa kita insya-Allah akan berjaya mencapai sasaran terbabit menjelang 2030," katanya.
Shamsul Azri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), yang disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri merangkap Penaung Puspanita Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini hari ini.
Beliau yang juga Penasihat Puspanita berkata wanita merupakan rakan strategik dalam pembangunan negara, serta penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara.
"Pada masa ini, jumlah penjawat awam wanita dalam perkhidmatan awam ialah 765,000 orang atau 59 peratus penjawat awam ialah wanita. Bermaksud penjawat awam wanita melebihi penjawat awam lelaki," katanya.
Shamsul Azri berkata dalam menghadapi cabaran semasa, usaha kerajaan menjaga kebajikan rakyat dan memacu ekonomi memerlukan sokongan semua lapisan masyarakat, termasuk melalui peranan yang dimainkan oleh Puspanita.
"Di sinilah saya melihat Puspanita memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam melahirkan masyarakat yang bertunjangkan nilai insaniah yang menyeluruh dan berdaya tahan," katanya.
Sementara itu, Dr Wan Azizah mahu Puspanita terus memainkan peranan penting dan signifikan dalam menyantuni ahli dan masyarakat dengan melaksanakan pelbagai program kebajikan serta pembangunan komuniti bagi membuktikan bahawa budaya ihsan terus menjadi nadi perjuangan Puspanita.
"Selaku penaung Puspanita, saya berharap lebih banyak program yang dirangka kelak akan melibatkan pelbagai golongan sasar.
“Teruskanlah usaha yang baik ini dengan jalinan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak yang sesuai untuk memastikan keberkesanannya dipertingkat serta lebih ramai penerima manfaat dapat dibantu," katanya.
Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut melancarkan lagu rasmi Puspanita yang pertama sejak penubuhan organisasi itu pada 1983.
-- BERNAMA