AM

KTMB Tawar Tambang Promosi Shuttle Selatan Bermula Ahad Ini

25/06/2026 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menawarkan tambang promosi bagi perkhidmatan Shuttle Selatan melibatkan laluan Kempas Baru-Pasir Gudang dan Kulai-JB Sentral bermula Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata promosi itu sebagai usaha menggalakkan lebih ramai memilih pengangkutan rel sebagai mod pengangkutan harian yang lebih selesa, cepat dan menjimatkan.

“Pemberian tambang promosi ini sebahagian daripada komitmen KTMB dalam menyokong aspirasi kerajaan menggalakkan peralihan pengguna daripada pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam menerusi inisiatif Road to Rail.

“Sebagai contoh, penumpang laluan Kulai-JB Sentral akan menikmati tambang serendah RM5.10 berbanding kadar asal RM10.20 manakala penumpang laluan Kempas Baru-Pasir Gudang hanya membayar RM3.50 berbanding tambang asal RM7,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azlan Shah berkata pelaksanaan tambang promosi itu juga sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan manfaat pengangkutan awam rel dapat dinikmati lebih ramai rakyat, khususnya pengguna harian yang berulang-alik dari kawasan kediaman, pusat bandar serta lokasi kerja di koridor Johor Bahru, Kulai dan Pasir Gudang.

KTMB memaklumkan Shuttle Selatan yang dilancarkan pada 16 Jun ialah inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan mobiliti rakyat di Johor menerusi dua laluan utama iaitu Kulai-JB Sentral-Kulai dan Kempas Baru-Pasir Gudang-Kempas Baru.

Kerajaan turut memperkenalkan Kad Komuter MADANI Shuttle Selatan dengan sebanyak 3,000 kad bernilai RM50 diedarkan secara percuma yang membolehkan penumpang mendapatkan perkhidmatan Shuttle Selatan tanpa had.

Azlan Shah berkata KTMB terus komited memperkukuh perkhidmatan rel negara melalui penyediaan perkhidmatan yang berkualiti, selamat dan berdaya saing selaras dengan aspirasi memperkasakan penggunaan pengangkutan awam serta menyokong agenda mobiliti mampan negara.

Maklumat lanjut mengenai jadual perjalanan, tambang dan pembelian tiket boleh didapati menerusi aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau saluran media sosial rasmi syarikat itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572938