KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Ke-12 (IRGCE) 2026 yang dijadual bermula pada 8 hingga 10 September ini adalah edisi penganjuran terbesar setakat ini berikutan lebih 600 ruang pameran habis ditempah oleh pempamer daripada 15 negara sebelum acara berlangsung.
Pelancaran awal bagi acara anjuran bersama Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan Majlis Getah Malaysia (MRC) itu, diadakan hari ini selain pemeteraian memorandum persefahaman antara kedua-dua organisasi serta perjanjian penajaan dengan rakan industri.
Bertemakan “Synergising Innovations: Redefine the Future of the Glove Ecosystem,” IRGCE dijangka menarik penyertaan lebih 1,000 wakil persidangan dan 10,000 pengunjung daripada lebih 70 negara.
Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Dr Zairossani Mohd Nor yang menyempurnakan pelancaran awal itu mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tema IRGCE 2026 adalah bertepatan dengan landskap ekonomi semasa.
Beliau berkata tema itu menekankan keperluan untuk mencapai ekonomi skala, menangani gangguan teknologi serta memperkukuh tadbir urus bagi memastikan industri sarung tangan getah kekal relevan dan berdaya tahan pada masa hadapan.
“Daripada perspektif kementerian, perkara ini adalah sejajar dengan matlamat makroekonomi negara dalam usaha untuk melonjakkan sektor sarung tangan Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai global,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Menurutnya, usaha Malaysia untuk meningkatkan kedudukan sektor sarung tangan getah dalam rantaian nilai global akan dipacu oleh pelaburan lebih besar dalam penyelidikan dan pembangunan, automasi serta mekanisasi.
Zairossani menekankan bahawa integrasi menegak yang lebih kukuh antara sektor huluan dan hiliran serta pembangunan modal insan yang disesuaikan dengan keperluan pembuatan berteknologi tinggi, adalah faktor utama bagi mencapai matlamat itu.
“Kerajaan mengakui bahawa sektor ini sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan pasaran yang mengikut kitaran, peningkatan kos pematuhan peraturan serta persaingan yang semakin tinggi daripada pengeluar berkos rendah.
“Kerajaan kekal komited untuk mewujudkan persekitaran dan ekosistem yang kondusif, dan pada masa sama melaksanakan langkah sokongan yang bersesuaian sekiranya perlu untuk mengekalkan pertumbuhan industri dalam jangka panjang,” katanya.
Presiden MARGMA Oon Kim Hung berkata IRGCE bukan sekadar pameran perdagangan atau persidangan, sebaliknya adalah pusat pertemuan global bagi keseluruhan ekosistem industri sarung tangan.
“IRGCE adalah platform yang menghimpunkan pengeluar, pembekal, pembeli, penyelidik, pengawal selia, penyedia teknologi dan pelbagai pihak berkepentingan lain untuk membincangkan bukan sahaja kedudukan industri pada masa ini, malah hala tuju masa depannya,” katanya.
Persidangan itu akan menampilkan enam penceramah pleno tempatan dan antarabangsa termasuk profesor perubatan dan patologi Johns Hopkins University, Amerika Syarikat Dr Robert G. Hamilton serta 36 penceramah lain yang menekankan pelbagai topik merentasi ekosistem sarung tangan getah.
Mengenai prospek industri, Oon berkata walaupun industri pada masa ini berdepan tekanan daripada ketegangan geopolitik, gangguan logistik, ketidaktentuan harga bahan mentah, peningkatan kos operasi serta perubahan corak permintaan dalam pasaran utama, prospek jangka panjangnya masih kekal positif.
Menurutnya permintaan global terhadap sarung tangan akan terus disokong oleh faktor asas seperti perkembangan sistem penjagaan kesihatan, industri pemprosesan makanan dan keperluan keselamatan industri.
“Pasaran mungkin mengalami turun naik dalam jangka pendek, namun untuk jangka panjang, keperluan terhadap produk perlindungan berkualiti akan terus kekal.
“Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus memenuhi permintaan itu memandangkan kita mempunyai pengalaman, infrastruktur, kemampuan teknikal, dan yang penting, industri yang sedar bahawa kejayaan pada masa depan hanya dapat dicapai melalui penambahbaikan yang berterusan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MRC Muhammad Eizaaz Muhammad Redzuan berkata, walaupun industri terus berdepan ketegangan geopolitik, persaingan yang semakin meningkat dan pelbagai cabaran global lain, Malaysia telah mengenal pasti peluang yang wujud daripada perubahan landskap global.
“Daya saing pada hari ini tidak lagi bergantung semata-mata kepada kapasiti pengeluaran. Ini melibatkan inovasi, kebolehsuaian, kemampanan, dan yang paling penting, dasar luar negara yang dinamik di peringkat nasional,” katanya.
-- BERNAMA