AM

RUU Penjara (Pindaan) 2026 Ditangguh, Rujuk JPKP - Shamsul Anuar

25/06/2026 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026 yang antara lain bertujuan memperuntukkan penggunaan peranti pengawasan elektronik serta pelantikan sukarelawan bagi pelaksanaan program pemulihan banduan, ditangguhkan dan dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhasrat untuk menangguhkan RUU itu untuk dirujuk kepada JPKP Keselamatan serta JPKP Hak Asasi Manusia dan Reformasi Institusi bagi penelitian lanjut.

“KDN mengambil maklum akan semua isu yang telah dibangkitkan sewaktu sesi perbahasan RUU ini dan tentunya kita amat memerhati pandangan yang diberi,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat, RUU itu telah dirujuk kepada JPKP Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi pada 29 Okt 2025 serta Jawatankuasa Keselamatan pada 16 Jun lepas.

Shamsul Anuar berkata secara umumnya, jawatankuasa berkenaan telah memberikan maklum balas positif terhadap pindaan-pindaan yang dihasratkan oleh KDN melalui RUU tersebut.

“Lanjutan daripada itu juga, sesi taklimat dibuat kepada Ahli Parlimen untuk mendapat pandangan-pandangan tentang akta ini,” katanya.

Menurut beliau, RUU itu memberikan tumpuan dalam menangani isu kesesakan penjara melalui pendekatan pemulihan yang lebih dinamik.

Terdahulu, sebanyak 14 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyertai sesi perbahasan dengan majoriti mencadangkan agar KDN menarik balik RUU tersebut dan dibawa ke JPKP untuk penelitian lanjut, khususnya bagi seksyen baharu, iaitu Seksyen 63A.

William Leong Jee Keen (PH-Selayang) berpendapat peruntukan baharu itu perlu diperhalus semula bagi memastikan setiap aspek pematuhan arahan pegawai atasan oleh kakitangan penjara kekal mempunyai prinsip akauntabiliti dan selari dengan kedaulatan undang-undang.

Turut membangkitkan isu sama ialah Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Madius Tangau (GRS-Tuaran) dan RSN Rayer (PH-Jelutong).

Menurut naskah RUU berkenaan yang dimuat naik menerusi portal Parlimen, seksyen baharu itu memperuntukkan perlindungan terhadap pegawai penjara atau mana-mana individu yang bertindak mengikut perintah, arahan atau suruhan komisioner jeneral daripada tindakan undang-undang.

RUU itu yang dibentangkan bagi bacaan kali kedua semalam merangkumi 12 fasal dan empat subfasal termasuk seksyen baharu berkaitan sukarelawan bagi membantu pegawai penjara melaksanakan program pemulihan di bawah Akta Penjara 1995. 

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2573015