AM

Mangsa Banjir Di Perak Berkurang, Dua PPS Ditutup

25/06/2026 09:00 PM

IPOH, 25 Jun (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Perak berkurang kepada 221 orang daripada 67 keluarga setakat 8 malam ini, dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan dua PPS di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) yang ditutup membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Ibol dan Dewan Perdana Trong pada 2 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah LMS Mohd Nasrul Menhat mengisytiharkan penutupan kedua-dua PPS berkenaan setelah air banjir di semua rumah mangsa yang terjejas telah surut sepenuhnya dan mereka pulang ke kediaman masing-masing.

Dalam pada itu, sebanyak 101 mangsa daripada 28 keluarga masih berlindung di PPS SK Matang Gelugor dan 69 mangsa daripada 23 keluarga pula di PPS Dewan Terbuka Masjid Al-Wusta, melibatkan daerah LMS.

Pada masa sama, sebanyak 51 orang daripada 16 keluarga kekal berlindung di PPS Dewan Bandaran Gopeng di daerah Kampar sejak 20 Jun lepas kerana kawasan rumah mereka di Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila terputus hubungan susulan jambatan runtuh akibat kepala air.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Perak memaklumkan paras air di Sungai Slim di Slim River berada pada tahap berjaga-jaga, iaitu 24.9 meter berbanding paras normal 23.5 meter.

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2573099