GUADALUPE (Mexico), 25 Jun (Bernama-Yonhap) -- Buat kali pertama sejak memulakan karier bersama pasukan kebangsaan pada 2010, Son Heung-min memulakan perlawanan Piala Dunia dari bangku simpanan pada Rabu.
Menurut Agensi Berita Yonhap, pemain veteran itu mengakui berasa tidak berdaya ketika Korea Selatan bergelut mencipta banyak peluang serangan pada separuh masa pertama menentang Afrika Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan A di timur laut Mexico.
Son dimasukkan pada awal separuh masa kedua ketika perlawanan masih terikat tanpa jaringan. Namun, Afrika Selatan menjaringkan gol pada minit ke-63 dan mempertahankann kelebihan itu untuk menang 1-0 sekali gus menempah slot ke peringkat kalah mati buat kali pertama.
Korea Selatan yang jatuh ke kedudukan ketiga kini perlu menunggu baki perlawanan peringkat kumpulan selesai bagi mengetahui sama ada mereka akan berada dalam kalangan lapan pasukan tempat ketiga terbaik yang layak ke pusingan kalah mati.
"Amat mengecewakan apabila perlawanan tidak berjalan seperti yang kami mahukan dan kami sebagai pemain sudah tentu sangat kecewa," kata Son.
"Saya berasa bersalah kepada rakan sepasukan kerana tidak banyak membantu mereka di atas padang."
Son berada dalam kesebelasan utama dalam 12 perlawanan Piala Dunia sebelum ini sejak kejohanan 2014 di Brazil. Ketua jurulatih kebangsaan ketika ini, Hong Myung-bo, turut mengendalikan pasukan itu 12 tahun lepas dalam tempoh pertamanya bersama Korea Selatan.
Son mendedahkan Hong telah memberitahunya lebih awal bahawa beliau tidak akan disenaraikan dalam kesebelasan utama dan berkata: "Saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diulas mengenai perkara itu."
Ditanya mengenai perbualannya dengan pemain kesebelasan utama ketika rehat hidrasi separuh masa pertama, Son berkata: "Saya cuba memberikan bantuan terbaik yang mampu saya berikan dari sudut pandangan saya. Saya cuba memastikan semuanya mudah."
Son tidak menganggap keadaan cuaca yang sangat panas di Guadalupe menjejaskan prestasi Korea Selatan, sambil menyatakan Afrika Selatan juga bermain dalam situasi sama.
"Saya fikir kami perlu melihat gambaran lebih besar dan mengenal pasti di mana silapnya," kata Son.
"Tiada masalah dengan suasana di bilik persalinan. Memang mengecewakan apabila kami sudah mencuba sedaya upaya namun perlawanan masih tidak berjalan dengan baik. Tiada siapa yang lebih kecewa daripada pemain sendiri.
"Namun, saya boleh katakan dengan jujur bahawa suasana dalam pasukan kami langsung tidak mempunyai sebarang masalah."
Mengenai kedudukan Korea Selatan yang kini terpaksa menunggu keputusan pasukan lain, Son berkata beliau secara peribadi, tidak mahu berada dalam situasi seperti itu, iaitu pasukannya perlu menunggu dan melihat sama ada mereka akan mara ke pusingan kalah mati.
"Ia mengecewakan kerana kami tidak mendapat keputusan yang sepatutnya, mengambil kira kerja keras yang telah kami lakukan. Namun, perkara ini kini di luar kawalan kami dan kami perlu menerima nasib kami, apa jua keputusannya," katanya.
-- BERNAMA-YONHAP