KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Pemegang Amanah Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT), RHB Trustees Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan City-Link Express (M) Sdn Bhd bagi membeli sebuah pusat pengedaran yang digunakan sepenuhnya di Bandar Saujana Putra, Selangor pada harga RM128 juta.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, syarikat itu berkata selepas urus niaga itu dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2026, City-Link Express akan menyewa semula hartanah tersebut menerusi perjanjian jual dan pajakan semula selama 15 tahun.
Ini membolehkan Axis-REIT menjana pendapatan sewaan bulanan permulaan sebanyak RM661,878, tertakluk kepada kenaikan kadar sewa yang dipersetujui sepanjang tempoh pajakan.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Bhd Leong Kit May berkata cadangan pembelian itu akan terus mengukuhkan penglibatan Axis-REIT dalam sektor logistik dan perindustrian Malaysia yang semakin berkembang.
“Lokasi strategik hartanah ini dengan akses terus ke Lebuhraya Hubungan Tengah Utara-Selatan (ELITE), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) membolehkannya berfungsi sebagai hab logistik utama bagi sebuah pengendali kurier dan logistik yang mapan.
“Lebih penting, pajakan semula selama 15 tahun ini memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dan kestabilan hasil, sejajar dengan objektif kami untuk memberikan pulangan mampan dan berulang kepada pemegang unit, di samping meningkatkan lagi daya tahan portfolio kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif City-Link Express Ronald Tan berkata urus niaga itu membolehkan syarikat menjana modal daripada aset infrastruktur sedia ada dan menyalurkannya semula ke bidang yang akan memacu fasa pertumbuhan seterusnya.
“Pusat pengedaran Bandar Saujana Putra kekal sebagai ibu pejabat operasi kami dan urus niaga ini tidak menjejaskan pelanggan, pekerja mahupun operasi harian syarikat.
“Sebaliknya, ia mengukuhkan kedudukan kunci kira-kira kami, meningkatkan fleksibiliti strategik dan menyediakan platform yang lebih kukuh bagi pelaburan masa depan serta peluang pertumbuhan,” katanya.
Cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi kemudahan perbankan sedia ada Axis-REIT dan dijangka meningkatkan nisbah pembiayaannya kepada kira-kira 33.94 peratus daripada jumlah aset teraudit setakat 31 Dis, 2025.
-- BERNAMA