AM

Agong Titah Transformasi Strategik ATM Sejajar Konsep 'Angkatan Masa Hadapan'

27/06/2026 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya  transformasi strategik terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilakukan sejajar konsep ‘Angkatan Masa Hadapan’ bagi membentuk sebuah angkatan bersepadu dan berupaya menghadapi ‘fifth generation warfare’.

Seri Paduka Baginda bertitah persekitaran keselamatan global dan serantau sedang mengalami perubahan pesat, kompleks dan tidak menentu yang memerlukan doktrin pertahanan negara berubah seiring perkembangan teknologi.

Sultan Ibrahim bertitah sudah pasti setiap perubahan memerlukan anjakan radikal, namun ‘Angkatan Masa Hadapan’ adalah satu keperluan strategik yang wajar dilaksanakan.

"Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan supaya memberi keutamaan dalam perolehan peralatan berteknologi terkini dan menyokong struktur baharu Angkatan Tentera Malaysia," titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2026 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda mengingatkan pegawai yang bakal memulakan kerjaya ketenteraan bahawa mereka adalah tonggak angkatan masa hadapan.

Sultan Ibrahim bertitah kerjaya itu menuntut kekuatan fizikal, akal fikiran, disiplin dan pengorbanan yang tinggi.

"Saudara saudari hendaklah memimpin dengan bijaksana, adil dan menjadi contoh yang baik kepada anggota bawahan. Ingat, there are no bad soldiers, only bad leaders.

"Oleh itu, jangan sekali-kali makan rasuah, malas bekerja atau meletakkan kepentingan diri sendiri lebih tinggi daripada kepentingan tanah air," titah Seri Paduka Baginda.

Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan pentauliahan 566 pegawai kadet ATM yang terdiri daripada 466 pegawai lelaki dan 100 pegawai wanita.

Seramai 205 pegawai yang ditauliahkan merupakan graduan Sarjana Muda dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), manakala 361 lagi merupakan lepasan universiti tempatan dan luar negara.

Sebanyak tujuh pegawai dikurniakan Anugerah Pedang Kehormat dengan Anugerah Pegawai Terbaik Keseluruhan diterima Leftenan Muda Muhammad Aliff Iskandar Mohd Alimi.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2573623