BRUSSELS, 27 Jun (Bernama-dpa) -- Suruhanjaya Eropah pada Jumaat mengecam ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan tarif sehingga 100 peratus sebagai tindak balas terhadap kemungkinan pelaksanaan cukai perkhidmatan digital baharu ke atas syarikat teknologi gergasi AS, sambil memberi amaran bahawa Kesatuan Eropah (EU) akan bertindak balas terhadap langkah itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"EU dan negara anggotanya mempunyai hak berdaulat untuk mengawal selia aktiviti ekonomi di wilayah masing-masing selaras dengan nilai demokrasi dan komitmen antarabangsa kami.
"Langkah unilateral yang menyasarkan dasar sah seperti ini adalah tidak wajar.
"Sekiranya diteruskan, EU akan bertindak balas dengan pantas dan tegas bagi mempertahankan hak serta autonomi kawal selianya," kata jurucakap Suruhanjaya Eropah.
Terdahulu, Trump memberi amaran kepada beberapa negara Eropah supaya tidak memperkenalkan cukai perkhidmatan digital baharu dengan berkata beliau akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua barangan yang dieksport ke AS oleh mana-mana negara yang melaksanakan langkah itu.
Menerusi platform Truth Social, Trump berkata tarif berkenaan mengatasi perjanjian perdagangan sedia ada tanpa mengira sama ada perjanjian itu telah ditandatangani atau dilaksanakan.
EU dan AS mencapai perjanjian perdagangan tahun lalu yang bertujuan menamatkan pertikaian tarif yang berpanjangan.
Pelaksanaan penuh di pihak EU bagaimanapun tertangguh selepas negara anggota EU dan Parlimen Eropah pada Mei memperkenalkan beberapa peruntukan perlindungan.
Antara langkah itu ialah mekanisme yang membolehkan EU menggantung konsesi tarif sekiranya Washington melanggar perjanjian berkenaan, termasuk dengan menaikkan semula tarif.
Perjanjian itu dijangka dilaksanakan sepenuhnya menjelang 4 Julai.
Jurucakap itu berkata langkah percukaian EU terpakai secara sama rata kepada semua syarikat besar tanpa mengira negara asal dan tidak bersifat diskriminasi.
Beliau turut mengulangi sokongan EU terhadap pendekatan global bagi percukaian ekonomi digital selaras dengan persetujuan yang dicapai oleh menteri kewangan negara anggota Kumpulan Tujuh (G7).
"Ia kekal menjadi pendekatan pilihan kami dan kami bersedia untuk terus terlibat secara konstruktif bagi merealisasikannya," katanya.
-- BERNAMA-dpa