AM

Malaysia Perlu Percepat Bangun Teknologi Industri Dron - PM Anwar

27/06/2026 05:32 PM

SEPANG, 27 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu mempercepat penerimagunaan dan pembangunan teknologi baharu, terutamanya dalam industri Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) atau dron untuk memperkukuh kedudukan negara dalam ekonomi global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata industri dron yang saling berkait dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, muncul sebagai pemangkin kukuh untuk inovasi, produktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

"Jika Malaysia ingin menjadi negara yang lebih berjaya dari segi ekonomi, kita mesti pantas membangunkan teknologi dan bidang baharu.

“Dron berkait dengan teknologi digital dan AI, dan kita perlu membina ekosistem yang sesuai dan wajar untuknya,” kata beliau pada majlis penutup MyDrone Expo 2026 (MDX2026), di sini, hari ini.

Ekspo tiga hari anjuran bersama World UAV Federation (WUAVF) Cawangan Malaysia dengan Persatuan Pembangunan UAV Malaysia (MUDA) itu menampilkan lebih 100 reruai dan menarik ribuan pengunjung serta perwakilan industri dari 46 negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pasaran UAV global diunjurkan bernilai lebih US$55 bilion menjelang 2030, manakala sektor ekonomi ekosistem ruang udara bersepadu kini menjadi pemacu pelaburan yang semakin penting.

Bagi merebut peluang ini, beliau menggesa penggubal dasar, pertubuhan penyelidikan sains dan semua agensi berkaitan untuk memberikan sokongan kawal selia dan ekosistem yang sepenuhnya kepada industri tersebut.

"Dasarnya jelas. Dron dan industri berkaitan diberi sokongan penuh, bukan sahaja untuk industri tentera udara dan pertahanan tetapi juga untuk aktiviti awam, seperti perladangan, bagi meningkatkan produktiviti," kata beliau.  

Bagi memacukan lagi industri ini, Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk menambah baik rangka kerja kawal selia, mempertingkat pembiayaan penyelidikan, pengujian dan pensijilan.

Beliau juga menggesa kerjasama yang lebih erat antara pihak swasta, pertubuhan penyelidikan kerajaan dan universiti untuk merangka pembangunan bakat yang mantap dalam bidang AI dan teknologi fizik kuantum. 

Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan Malaysia perlu berani meneroka bidang teknologi strategik bagi memastikan negara kekal berdaya saing di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik, persaingan kuasa besar serta ketidaktentuan ekonomi global.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata Malaysia mesti terus berpegang teguh pada prinsip dan pendirian negara, namun pada masa sama bersedia menyesuaikan diri dengan tuntutan teknologi yang berkembang pesat dan semakin canggih.

Beliau berkata sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data dan teknologi dron bukan lagi medan sampingan tetapi menjadi tonggak baharu kekuatan utama negara.

“Negara yang lambat menyesuaikan diri akan ketinggalan, manakala negara yang berani meneroka akan memimpin dengan gagah,” kata beliau.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyambut baik penganjuran MyDrone Expo 2026 yang disifatkan sebagai platform penting untuk menyemarakkan minat terhadap teknologi masa depan.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh ekosistem yang mendukung daya cipta dan penyelidikan agar Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya muncul sebagai pencipta, peneraju serta penyumbang kepada kemajuan dunia.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2573714