KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) dan Sekretariat Negara Kewangan Antarabangsa Switzerland berjaya memuktamadkan pusingan kedua bagi rundingan semula Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (PPPDK) Berkaitan Cukai Pendapatan antara kedua-dua negara.
MOF menerusi hantaran di platform X pada Sabtu memaklumkan rundingan itu berlangsung di Putrajaya dari 22 hingga 25 Jun, 2026.
Malaysia dan Switzerland memeterai perjanjian itu pada 1974 sebagai perjanjian cukai dua hala bagi mengelakkan individu dan syarikat daripada dikenakan cukai dua kali atas pendapatan rentas sempadan yang sama.
"Perjanjian itu jelas memperuntukkan hak percukaian antara kedua-dua negara yang terlibat, memudahkan pertukaran maklumat antara pihak berkuasa cukai serta menggalakkan pelaburan asing dan perdagangan rentas sempadan melalui kepastian percukaian yang lebih tinggi dan pengurangan kos berkaitan cukai.
"Pusingan kedua rundingan itu diadakan selepas pusingan pertama yang diadakan di Bern, Switzerland pada Disember 2025, dengan objektif mengemas kini perjanjian sedia ada selaras dengan piawaian semasa percukaian antarabangsa di samping mengambil kira landskap ekonomi global serta model perniagaan yang semakin berkembang," menurut MOF.
MOF menjelaskan kedua-dua delegasi mengadakan rundingan itu dalam semangat kerjasama yang kukuh serta komitmen bersama untuk mencapai hasil yang seimbang bagi menyokong pertumbuhan mampan di Malaysia dan Switzerland.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican juga mengadakan pertemuan dengan delegasi Malaysia dan Switzerland bagi mengesahkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kerjasama percukaian serta hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
-- BERNAMA