AM

Lawatan Anwar Ke Rusia, Turkmenistan Perkukuh Hubungan, Manfaat Ekonomi Negara - Pakar

27/06/2026 08:08 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Kejayaan yang diperoleh hasil daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia dan Turkmenistan baru-baru ini disifatkan sebagai menunjukkan kewibawaan pemimpin negara itu di persada dunia dalam memperkukuh hubungan kerjasama strategik. 

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata lawatan ke dua negara pengeluar tenaga utama itu membuka ruang kerjasama dalam sektor tenaga, perdagangan, pelaburan dan keselamatan bekalan.

"Usaha ini memberi manfaat kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat. Pencapaian seperti jaminan bekalan minyak dan pelantikan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sebagai pengendali telaga gas kedua terbesar dunia boleh dilihat sebagai satu pencapaian diplomasi ekonomi.

"Ini kerana ia berjaya menterjemahkan hubungan antara kerajaan kepada peluang strategik untuk negara di samping mengukuhkan kedudukan Petronas sebagai pemain tenaga bertaraf global," katanya ketika dihubungi Bernama.

Penganalisis politik itu berkata kewibawaan Perdana Menteri yang berusaha membawa kebaikan kepada rakyat menerusi lawatan ke luar negara bukan sekadar diukur melalui lawatan rasmi, tetapi keupayaan beliau membawa pulang hasil yang memberi nilai tambah kepada negara.

"Jika lawatan menghasilkan pelaburan, kerjasama strategik dan jaminan keselamatan tenaga, maka ia mencerminkan diplomasi yang berorientasikan kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Akademik Fakulti Sains Pentadbiran dan Kewangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Qatar University (UKM-Qatar) Prof Dr Noor Azuan Hashim berkata lawatan itu menarik perhatian banyak pihak khususnya dalam konteks kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa.

Beliau berkata ketika dunia berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi, tenaga dan geopolitik, lawatan itu merupakan satu langkah strategik bagi memperkukuh kepentingan negara melalui hubungan diplomatik dan ekonomi yang lebih pelbagai serta seimbang, selain menjamin keselamatan tenaga negara.

"Rusia dan Turkmenistan adalah antara pemain utama dalam sektor minyak dan gas dunia.

“Hubungan yang lebih erat dengan kedua-dua negara membolehkan Malaysia mempelbagaikan sumber dan rakan kerjasama tenaga sekali gus mengurangkan kebergantungan pada pasaran tertentu dan meningkatkan ketahanan tenaga negara dalam jangka panjang," katanya.

Noor Azuan berkata lawatan itu turut membuka peluang perdagangan dan pelaburan baharu memandangkan Asia Tengah masih merupakan pasaran yang belum diterokai sepenuhnya oleh syarikat Malaysia.

"Hubungan yang lebih kukuh dengan rantau itu bukan sahaja tertumpu kepada minyak dan gas malah berpotensi membuka ruang kepada eksport produk halal, minyak sawit, pendidikan tinggi serta perkhidmatan profesional Malaysia," katanya.

Dasar luar Malaysia yang terbuka, pragmatik dan berasaskan kepentingan nasional serta tidak hanya terikat kepada satu blok kuasa dapat membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, selain menjalinkan hubungan baik dengan pelbagai negara dan kuasa

“Secara keseluruhan, lawatan rasmi Perdana Menteri ke Rusia dan Turkmenistan memperlihatkan usaha berterusan Malaysia dalam memperluas jaringan diplomatik dan ekonomi di luar rakan tradisional negara.

"Walaupun terdapat cabaran yang perlu diurus dengan bijaksana, lawatan ini berpotensi membawa manfaat strategik kepada Malaysia khususnya dalam aspek keselamatan tenaga, perdagangan, pelaburan, dan kedudukan negara di persada antarabangsa," katanya.

 Pada 16 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kazan untuk lawatan kerja dua hari ke ibu negara dan bandar terbesar di Tatarstan, Rusia itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia, yang berlangsung dari 17 hingga 18 Jun.

Perdana Menteri kemudian mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan pada 18 Jun yang antaranya menyaksikan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama Jangka Panjang bagi Pembangunan Sumber Hidrokarbon Turkmenistan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Turkmenistan.

  -- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2573886