AM

Peruntukan RM14.53 Juta Perkasa Sektor Agromakanan Pulau Pinang

28/06/2026 05:15 PM

NIBONG TEBAL, 28 Jun (Bernama) – Sebanyak RM14.53 juta diperuntukkan bagi memperkukuh sektor pertanian dan agromakanan Pulau Pinang tahun ini, termasuk meningkatkan daya saing industri durian premium, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi RM6.37 juta di bawah Peruntukan Pembangunan Negeri, RM2.23 juta peruntukan pembangunan pertanian Kerajaan Persekutuan serta tambahan RM5.933 juta menerusi Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Pada 2025, subsektor buah-buahan merekodkan pengeluaran sebanyak 30,947 tan metrik dengan nilai dianggarkan RM309.47 juta, sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada nilai pengeluaran tanaman negeri. 

“Pencapaian ini membuktikan bahawa sektor buah-buahan terus menjadi antara pemacu utama ekonomi pertanian Pulau Pinang,” katanya ketika merasmikan Pesta Durian dan Pelancaran Road to MAHA Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri Datuk Rashidi Zinol dan Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi.

Chow berkata Pulau Pinang kekal sebagai antara pengeluar durian premium terbaik di Malaysia dengan pengeluaran meningkat daripada 17,910 tan metrik pada 2024 kepada 18,870 tan metrik tahun lepas.

Beliau berkata keluasan tanaman durian berhasil di negeri itu juga dijangka meningkat kepada 2,220 hektar tahun ini, didorong usaha berterusan memperkukuh industri berkenaan.

Katanya, daerah Barat Daya, Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) kekal sebagai kawasan utama pengeluaran durian yang terkenal dengan pelbagai klon premium berkualiti tinggi serta mendapat permintaan menggalakkan dari dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, Chow berkata penganjuran Pesta Durian dan Road to MAHA 2026 merupakan inisiatif penting bagi mempromosikan industri durian serta sektor agromakanan Pulau Pinang, selain menjadi platform persediaan ke arah Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Beliau berkata penganjuran pesta itu juga penting bagi memperkukuh jenama durian Pulau Pinang, memperluas pasaran hasil pertanian tempatan serta meningkatkan pendapatan petani dan usahawan.

Pesta berkenaan yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat di pekarangan Masjid Al-Rasyidin diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan durian varieti terbaik dan durian kampung terbaik 2026, pameran inovasi produk berasaskan durian, pameran teknologi pertanian serta jualan produk agro tempatan.

Chow yakin usaha bersepadu antara kerajaan, agensi dan pemain industri akan terus mengangkat Pulau Pinang sebagai peneraju sektor agromakanan serta pengeluar durian premium negara.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574090