DUNIA

China Cadang Pinda Peraturan Import, Eksport Emas

28/06/2026 05:16 PM

BEIJING, 28 Jun (Bernama-Xinhua) -- China mencadangkan pindaan terhadap peraturan import dan eksport emas serta produk emas bagi memperkemas urusan pentadbiran, memudahkan perdagangan dan menambah baik pengurusan emas yang dibawa atau dikirim merentasi sempadan oleh individu, lapor Xinhua.

Bank Rakyat China (PBOC) memaklumkan draf pindaan itu digubal bersama Pentadbiran Am Kastam bagi mengemas kini rangka kerja kawal selia sedia ada agar selaras dengan perkembangan ekonomi, keperluan perundangan dan perubahan dasar semasa.

Antara cadangan utama ialah pemansuhan peruntukan yang mewajibkan PBOC dan pihak kastam menggubal secara bersama peraturan berkaitan individu yang membawa atau mengirim emas serta produk emas merentasi sempadan.

Bagaimanapun, draf itu menegaskan bahawa semua aktiviti membawa atau mengirim emas serta produk emas ke luar atau masuk negara masih tertakluk kepada pengawasan pihak kastam.

Menurut PBOC, pindaan itu juga bertujuan memudahkan urusan syarikat dan orang awam dengan memasukkan beberapa langkah yang telah terbukti berkesan dalam pelaksanaannya sebelum ini ke dalam peraturan rasmi.

Selain itu, draf berkenaan turut mencadangkan pengukuhan mekanisme penyeliaan dengan memperjelas skop pengawasan kastam, mempertingkat pemantauan terhadap syarikat perdagangan asing yang bertindak sebagai ejen, serta memperkemas kerangka penalti bagi kesalahan yang melanggar peraturan.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574108