KOTA BHARU, 29 Jun (Bernama) -- Kerja-kerja membaik pulih dan menggantikan pembetung kekotak di laluan FT008 Gua Musang–Kota Bharu (berhampiran Jambatan Bailey, Machang) berjalan mengikut jadual dan dijangka siap pada 7 Sept ini.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Badlihisham Nik Ismail berkata kemajuan pelaksanaan projek secara keseluruhannya telah siap 30.1 peratus.
"Kerja-kerja semasa juga tertumpu pada kerja pengorekan yang telah mencapai 90 peratus, diikuti dengan kerja pemasangan acuan yang mencapai 30 peratus.
"Kerja pemasangan tetulang turut dimulakan dan kini telah mencapai 10 peratus," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 8 Jun lepas, laluan FT008 Gua Musang–Kota Bharu sepanjang 2.3 kilometer ditutup sepenuhnya melibatkan kedua-dua arah bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih dan mengantikan pembetung di kawasan terlibat dapat dijalankan.
-- BERNAMA